DUNGUN: Dua beradik dikhuatiri lemas akibat dibawa arus deras ketika beriadah di Sungai Paka berhampiran Kampung Beril di sini, hari ini.
Kejadian pada pukul 11 pagi itu melibatkan Muhammad Aidil Amsar Mohd. Zulnaidi, 14, dan abangnya, Muhammad Amir Ashraf, 15, manakala dua rakan mereka selamat.
Mohd. Aidil Amsar adalah pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paka manakala Muhammad Amir Ashraf pula pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang.
Dua rakan mereka yang selamat ialah Muhammad Farish Iqbal Cik Mohana Runasdi, 14, dan Muhammad Afi Naashif Adli Noone, 15.
Komander Operasi, Mohd. Rizuan Ramli berkata, empat remaja itu dikatakan mengunjungi Sungai Paka untuk mandi pada pukul 10.30 pagi.
Katanya, setengah jam kemudian mereka hampir lemas namun Muhammad Farish Iqbal dan Muhammad Afi Naashif berjaya menyelamatkan diri.
“Dua orang lagi iaitu Muhammad Aidil Amsar dan Muhammad Amir Ashraf pulang hilang dibawa arus,” katanya di sini.
Mohd. Rizuan berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilakukan turut melibatkan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).
Katanya, selain pencarian di kawasan pesisir sungai, anggota PPDA juga telah digerakkan untuk melakukan selaman di sekitar lokasi kejadian. – UTUSAN










