KUALA LUMPUR: Pelakon Aedy Ashraf mengakui sangat terkejut dengan pemergian pelakon veteran Jalil Hamid yang disifatkannya sebagai kehilangan besar buat industri seni tanah air.
Menurut Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf bin Rosmadi, 33, berita pemergian tersebut diterimanya pada tengah hari semalam.
“Saya menerima berita pemergian Allahyarham pada tengah hari semalam dan ia memberi kesan mendalam bukan sahaja kepada saya, malah seluruh pasukan Malam Gala Tarung: Unforgiven yang berlangsung pada malam ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media acara berkenaan, semalam.
Aedy yang juga merupakan penerbit filem tersebut berkata, dia masih terkejut dengan berita tersebut memandangkan hubungan mereka yang sudah terjalin sejak lama lagi.
Menurutnya, dia pernah berlakon bersama Allahyarham sejak kecil menerusi pelbagai naskhah drama.
“Drama yang saya pernah berlakon bersama beliau adalah drama yang diarahkan oleh Michael Ang.
“Dia seorang yang sangat penyayang dan sangat baik. Di set, dia layan semua orang seperti anak sendiri,” ujarnya.
Tambahnya, Allahyarham juga merupakan pelakon senior yang sangat merendah diri dan tidak pernah meletakkan dirinya lebih tinggi daripada orang lain.
“Saya ramai berlakon dengan senior tapi beliau adalah seorang senior pelakon yang sangat baik di set yang menganggap setiap orang di set ini seperti anak dia,” jelasnya.
Menurut Aedy, sikap tenang dan keperibadian yang baik menyebabkan Allahyarham disenangi ramai dalam kalangan pelakon serta kru produksi.
“Semua orang menyayangi Jalil Hamid kerana kejujuran dan keikhlasan dalam setiap perkara yang dilakukan,” ujarnya.
Mengimbas pesanan yang masih dipegang hingga kini, Aedy berkata, Allahyarham pernah menasihatinya supaya menjaga keluarga dan terus kekal dalam industri sebagai pelakon, selain menekankan bahawa pelakon perlu jujur.
“Dia mengenali keluarga saya dan antara pesanan yang saya ingat sampai sekarang adalah jaga keluarga dan tetap dalam industri sebagai pelakon yang jujur,” katanya.
Semalam, jenazah pelakon dan pelawak, Allahyarham Jalil Hamid, 69, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pukul 6.30 petang.
Pengebumian berjalan dengan sempurna dan telah dihadiri seramai 300 ahli keluarga, saudara mara, rakan selebriti dan peminat sebagai tanda penghormatan terakhir.










