PETALING JAYA: Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR) mengesahkan setakat ini belum menerima sebarang pemakluman rasmi berhubung pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa oleh dua bekas pemimpin kanan PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.
Perkara itu sekali gus menimbulkan tanda tanya susulan kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan sebelum ini mengumumkan akan mengosongkan kerusi masing-masing berkuat kuasa hari ini.
Jurucakap Pejabat Yang Di-Pertua Dewan Rakyat berkata, sehingga kini tiada sebarang surat rasmi diterima termasuk daripada Setiausaha Agung PKR berkaitan perkara tersebut.
“Belum lagi. Pemakluman daripada Setiausaha Agung PKR pun belum diterima,” katanya secara ringkas hari ini.
Sementara itu, Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat memaklumkan, pihaknya telah menerima pemakluman daripada Pejabat Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) berhubung pelantikan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang baharu menggantikan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, pagi tadi.
Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan akan memaklumkan pengosongan kerusi Parlimen masing-masing kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini.
Langkah itu dibuat selepas kedua-duanya mengumumkan keluar daripada PKR dan akan menyertai Parti Bersama Malaysia (Bersama) bermula esok. – UTUSAN










