'Bodoh jika percaya Bersatu mahu bersama PH' - Utusan Malaysia

‘Bodoh jika percaya Bersatu mahu bersama PH’

AHMAD Faizal Azumu (tiga dari kanan) pada Program Korban Perdana dan Kenduri Rakyat Bersatu Perak di Taiping hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Dakwaan Bersatu sedang dibawa ke arah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tidak benar dan mereka yang mempercayai perkara itu adalah bodoh.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata,  dakwaan berkenaan sengaja dimainkan bagi mengelirukan penyokong Perikatan Nasional (PN) selain cubaan melemahkan keyakinan akar umbi terhadap pendirian Bersatu.

“Perkara itu adalah fitnah yang sangat jahat dan mereka yang mempercayai fitnah seperti ini adalah bodoh.

“Terang-terang kami istiqamah dengan perjuangan kami untuk meningkatkan syiar Islam, memartabatkan bangsa Melayu dan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada program Korban Perdana Bersatu Perak di Padang Taman Kota Jaya Simpang Taiping hari ini.

Sebelum ini, terdapat desas-desus bahawa Bersatu akan kembali kepada PH berikutan ketegangan hubungan Bersatu dan Pas.

Ahmad Faizal berkata, Bersatu kekal komited bersama rakan komponen dalam PN dan tidak berdepan masalah dengan hubungan dalaman gabungan tersebut.

“Kami istiqamah bersama PN sehingga hari ini dan saya harap ia berterusan untuk satu tempoh yang panjang,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu terbuka untuk menjalinkan kerjasama politik dengan pihak lain melalui pendekatan kerjasama pilihan raya sebagaimana diumumkan sebelum ini bersama beberapa parti termasuk Pejuang dan Putra.

Katanya, kerjasama itu bagaimanapun hanya melibatkan pihak yang mempunyai pendirian sama dalam usaha menolak kepimpinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bersatu tidak akan bekerjasama dengan DAP yang lebih menumpukan kepentingan kelompok tertentu sehingga boleh menjejaskan keharmonian negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN