Bersatu kecewa tuduhan dilemparkan Hadi Awang

Bersatu kecewa tuduhan dilemparkan Hadi Awang

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyangkal dakwaan bahawa parti itu menolak penyatuan ummah dengan tidak menyokong permohonan parti-parti lain untuk menjadi parti anggota Perikatan Nasional (PN).

Biro Poliitik Bersatu berkata, pendirian Bersatu ialah PN boleh mengadakan kerjasama pilihan raya terlebih dahulu dengan parti-parti ini dan kemasukan mereka sebagai parti anggota PN boleh dipertimbangkan kemudian.

“Inilah pendirian dan keputusan PN sebelum ini. Pendirian ini dikekalkan dalam mesyuarat MT PN pada 16 Mei 2026 dan sebuah jawatankuasa diwujudkan untuk memperhalusi terma-terma kerjasama pilihan raya termasuk pembahagian kerusi.

“Walaupun pelbagai pandangan dikemukakan dalam mesyuarat MT PN, keputusan ini dicapai secara bersama dan dipersetujui oleh semua ahli mesyuarat. Ini adalah keputusan kolektif yang dibuat secara konsensus demi kepentingan strategik dan kestabilan Perikatan Nasional secara keseluruhannya.

“Bersatu ingin melahirkan rasa kesal terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Bersatu berpegang kepada prinsip musyawarah dan perbincangan dalam MT PN berhubung perkara dasar dan perkara yang berbangkit dalam kerjasama PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Bersatu, parti itu kekal mendukung semua keputusan MT PN yang dibuat atas semangat saling menghormati, meraikan perbezaan serta mencapai konsensus demi memastikan kesatuan dan kekuatan gabungan tersebut terus terpelihara sejak enam tahun lalu.

Menurutnya, menjadi amalan dalam PN bahawa setiap perkara penting berkaitan dasar, hala tuju gabungan serta isu berbangkit akan dibawa ke mesyuarat MT PN untuk dibahas dan diputuskan secara musyawarah.

“Pendekatan itu telah diamalkan sejak PN dipimpin oleh Muhyiddin Yassin dan tidak wajar sebarang keputusan MT dipersoalkan atau dicabar di luar platform rasmi gabungan.

“Adalah tidak wajar keputusan-keputusan MT PN dicabar atau dipertikaikan di luar MT sehingga memberi gambaran seolah-olah ada Presiden parti yang mempunyai kuasa veto.

“PN telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan politik, namun masalah besar sebelum ini berjaya diselesaikan melalui semangat perpaduan, prinsip bersama dan kebijaksanaan kepimpinan gabungan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN