Belia Kudat sertai konvoi bermotor sebar mesej antidadah

Belia Kudat sertai konvoi bermotor sebar mesej antidadah

RUSLIN Jusoh (depan) menyertai program Konvoi Bermotor bersama Skuad Antidadah Dua Roda di sekitar pekan Kudat, Sabah sambil menyampaikan kempen Pesanan Antidadah (Pesada) kepada masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 50 belia turun padang menjayakan program Konvoi Bermotor bersama Skuad Antidadah Dua Roda di sekitar pekan Kudat, Sabah malam semalam bagi menyebarkan mesej antidadah kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, konvoi berkenaan diadakan sebagai sebahagian pengisian program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) yang bertujuan memperkukuh kempen Pesanan Antidadah (Pesada) dalam kalangan komuniti setempat.

Katanya, pendekatan santai menerusi aktiviti bermotor mampu menarik minat golongan muda untuk bersama-sama menyokong usaha pencegahan penyalahgunaan dadah di negara ini.

“Program komuniti seperti itu juga memberi ruang kepada pihak AADK mendekati masyarakat secara bersemuka sambil menyampaikan maklumat berkaitan bahaya penyalahgunaan dadah.

“Aktiviti permotoran tidak seharusnya dikaitkan dengan gejala negatif, sebaliknya boleh dijadikan platform menyebarkan pengaruh positif serta membentuk belia lebih bertanggungjawab.

“Sepanjang konvoi berlangsung, peserta singgah di beberapa lokasi tumpuan awam sekitar Kudat bagi mengedarkan risalah berkaitan kempen PESADA dan maklumat pencegahan dadah kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Kapor, Datuk Ben Chong Chen Bin, Pengarah AADK Sabah, Elmariah Chung dan Pengerusi Skuad Antidadah Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan.

Tambah Ruslin, penglibatan aktif komuniti amat penting bagi memastikan matlamat Dadah Terkawal 2030 dapat direalisasikan menerusi kerjasama erat antara agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

Katanya, program berkenaan berakhir dengan lancar dan dijangka diperluaskan ke beberapa daerah lain bagi memperkukuh jaringan Skuad Antidadah dalam kalangan belia di seluruh Sabah.

“Penyertaan hampir 50 belia termasuk ahli Skuad Antidadah daerah itu membuktikan sokongan berterusan masyarakat terhadap usaha mewujudkan persekitaran bebas dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN