KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan Oktober ini akan mengambil kira pelbagai langkah penjimatan melibatkan semua kementerian termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Meskipun penjimatan peruntukan turut membabitkan sektor pendidikan, namun soal mutu dan kemudahan asas sama ada di sekolah mahupun universiti tidak akan dikompromi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, impak daripada serangan Israel yang dibantu Amerika Syarikat (AS) di rantau Teluk menyebabkan kelembapan ekonomi dunia termasuk Malaysia.
Katanya, langkah berjimat-cermat ketika merangka belanjawan negara perlu mengambil kira kesan ekonomi yang tidak boleh diambil sambil lewa atau diremehkan.
“Apabila saya hendak buat keputusan umpamanya kita minta kementerian-kementerian termasuk KPM dan KPT, rayulah macam manapun mesti ada pengurangan belanjawan.
“Mustahil dalam RM20 bilion ini tak boleh dijimatkan. Banyak bidang-bidang boleh dijimatkan. Tetapi soal penumpuan tentang mutu pendidikan, kemudahan asas baik di sekolah atau universiti itu, insya-Allah kita akan teruskan tanpa gangguan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru kepemimpinan di setiap kementerian termasuk menteri dan ketua setiausaha memahami situasi semasa kerajaan.
Katanya, kementerian tidak boleh berfikir secara bersendirian, sebaliknya harus meneliti keadaan secara keseluruhan.
“Dia tidak boleh fikirannya silo (terasing), ini kementerian saya, ini fokus saya, semua penting. Perpaduan, budaya, sukan, sains dan teknologi semua penting tetapi dalam semua kementerian perlu ada kebijaksanaan serta kefahaman tentang ekonomi mikro dan makro.
“Ini maknanya tidak lihat hanya daripada segi satu sudut (tetapi) lihat daripada keseluruhannya. Semua terkesan kalau ada keperluan semua memerlukan peruntukan tambahan, namun dalam keadaan sekarang semua harus waras dan bijak.
“Perlu tahu masalah, perbaiki, ambil kesempatan dalam lompongan kelemahan-kelemahan ini, perbaiki kurangkan kos yang mana perlu dan dalam pada masa sama tetapkan keutamaan (masing-masing),” katanya.
Dalam pada itu, berhubung rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung semakan hak pemberian 40 peratus sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perdana Menteri berkata, ia akan diperjelaskan hari ini.
Anwar berkata, perkara itu akan diumumkan sempena lawatan rasminya ke Sabah.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan komited untuk memastikan segala isu berkaitan pelaksanaan MA63 diselesaikan secara baik dan berlandaskan semangat Persekutuan Malaysia.
“Kita akan jelaskan esok (hak 40 peratus Sabah),” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah, Taman Batu Muda, semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pengiktirafan Kerajaan Persekutuan terhadap hak Sabah untuk menerima 40 peratus hasil akan memperkukuh usaha mempercepatkan agenda pembangunan negeri. – UTUSAN










