Bekas pembantu khas ahli Parlimen didakwa esok, bukan Rafizi

Bekas pembantu khas ahli Parlimen didakwa esok, bukan Rafizi

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas pembantu khas kepada seorang ahli Parlimen akan didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur esok berhubung kes rasuah membabitkan projek mesra rakyat.

Pertuduhan membabitkan suspek lelaki itu dijadualkan berlangsung kira-kira pukul 8.30 pagi.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui satu jemputan liputan media memaklumkan, telah mendapat izin mendakwa seorang bekas pembantu khas ahli Parlimen dan dua pengarah syarikat.

Tahun lalu, dua individu termasuk bekas pembantu khas itu direman selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM500,000.

Wang itu dipercayai sebagai balasan membantu meluluskan dana projek mesra rakyat.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira pukul 9.30 malam pada 5 Mac 2025 ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

Mereka disyaki melakukan perbuatan berkenaan pada 2024 sebagai balasan membantu meluluskan permohonan dana projek mesra rakyat bernilai kira-kira RM1.5 juta.

Projek itu dipercayai membabitkan pembekalan papan pintar interaktif kepada beberapa sekolah sekitar Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan berasingan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menafikan pertuduhan terhadap bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli esok.

Minggu ini, Rafizi dipanggil bagi dirakam keteranga berhubung siasatan kes salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dan ARM Limited dari United Kingdom (UK).

“Mana ada,” katanya ringkas ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN