Atlet ragbi Sukma Pulau Pinang meninggal dunia selepas rebah di padang

Atlet ragbi Sukma Pulau Pinang meninggal dunia selepas rebah di padang

MUHAMMAD Adam Putra Syahril disahkan meninggal dunia selepas rebah di Padang Bola Batalion 2 PGA di Kulim, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seorang pemain ragbi Sukan Malaysia (Sukma) Pulau Pinang meninggal dunia selepas dipercayai rebah ketika menjalani sesi latihan di Padang Bola Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Tengku Mohd. Faisal Tengku Yeng berkata, mangsa, Muhammad Adam Putra Syahril, 21, disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan kecemasan.

Katanya, kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika mangsa yang merupakan penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Arau, Perlis sedang menjalani latihan ragbi bersama pasukannya.

“Ibu mangsa dimaklumkan oleh jurulatih ragbi bahawa anaknya rebah dan tidak sedarkan diri ketika latihan berlangsung di Padang Bola Batalion 2 PGA Kulim.

“Mangsa diberikan bantuan awal oleh jurulatih, namun tiada tindak balas sebelum dikejarkan ke Hospital Kulim dengan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, pegawai perubatan di unit kecemasan hospital bagaimanapun mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Katanya, mangsa dikatakan sedang menjalani latihan praktikal di daerah ini dan aktif sebagai pemain ragbi mewakili kontinjen Sukma Pulau Pinang.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sejarah penyakit. Proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi mengenal pasti punca sebenar kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN