KUALA LUMPUR: Penyanyi, Atilia Haron, bakal menganjurkan konsert solo pertamanya selepas terinspirasi dengan semangat dan dedikasi rakan seperjuangannya, Mimi Fly.
Atilia atau Raja Putri Atilia Raja Haron, 52, berkata, keputusan untuk mengadakan konsert tersebut dibuat selepas dia mendapat sokongan daripada Mimi sendiri.
“Saya baru tempah dewan di The Campus Ampang untuk buat konsert pertama saya sendiri. Jadi bila buat itu, orang pertama yang saya mesej adalah Mimi.
“Dia cakap buat sahaja. Kami memang selalu saling memberi inspirasi antara satu sama lain dan itu yang paling menarik dalam persahabatan kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dalam Program Rise and Revice di IWK Eco Park.
Tambah Atilia, konsert solo berkenaan dijadual berlangsung pada 19 September depan, iaitu empat hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-52.
“Setiap kali hari jadi saya, saya cuba buat sesuatu untuk diri sendiri. Kali ini saya mahu hadiahkan diri sendiri sebuah konsert.
“Mimi pula dia selalu buat perkara yang konsisten dan karya-karyanya juga bagus. Jadi, saya pun terikut-terikut jejak langkah Mimi. Kita gunakan kawan sebagai inspirasi bukan cemburu. Tiada yang toksik dalam persahabatan kami,” ujarnya.
Atilia berkata, konsert tersebut akan menawarkan tiga kategori tiket dengan harga yang berbeza dengan kapasiti penonton yang terhad bagi mengekalkan suasana persembahan lebih eksklusif dan dekat dengan peminat.
“Tiket konsert tersebut dijual pada harga RM168, RM188 dan RM238 dengan kapasiti sekitar 520 penonton sahaja bagi mengekalkan suasana yang lebih eksklusif.
“Konsert tersebut akan berlangsung di The Roberts Theater, The Campus Ampang. Tempat itu sangat cantik dan ada rasa seperti Royal Albert Hall, cuma dalam versi lebih kecil. Bila saya nampak di Instagram, saya terus cakap saya mahu menyanyi di situ,” jelasnya.
Mengulas mengenai persediaan konsert sulungnya, Atilia mahu memberi fokus kepada Java Jazz Festival terlebih dahulu sebelum memberi fokus sepenuhnya kepada konsertnya itu.
“Khamis ini saya akan terbang ke Jakarta untuk Java Jazz Festival pada hari jumaat. Saya agak gementar untuk membuat persembahan di situ. Selepas tamat persembahan, baru saya boleh fikirkan mengenai konsert itu, katanya. -UTUSAN










