Anak gilakan lagu Melayu klasik, Nourul bawa ke pentas konsert - Utusan Malaysia

Anak gilakan lagu Melayu klasik, Nourul bawa ke pentas konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMPANG: Penyanyi, Nourul Depp mengakui anaknya, Zachary, lebih teruja apabila bakal berkongsi pentas bersamanya menerusi Konsert For You: Nourul yang dijadual berlangsung Sabtu ini.

Menurut Nourul atau Noorulhuda Abdul Wahab, 49, anaknya itu bukan sahaja meminati lagu-lagu Melayu klasik, malah sudah biasa membuat persembahan di sekolah.

“Pada asalnya dia sekadar menyanyi suka-suka ketika sidang media konsert tempoh hari.

“Namun saya tidak sangka dia benar-benar hafal lagu Melayu klasik seperti Ikan Kekek nyanyian Saloma serta Cindai dendangan Siti Nurhaliza.

“Katanya, minat itu dipengaruhi kandungan di TikTok selain sering mendengar saya berlatih menyanyi di rumah. Bila saya ajak menyanyi bersama, dia jawab, ‘Saya dah cakap, saya seorang artis,’” katanya sambil ketawa.

Nourul berkata demikian ketika ditemui pada sesi latihan konsert di Studio Sine Tone, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Nourul mengakui pelbagai cabaran terpaksa ditempuh menjelang konsert berkenaan termasuk isu penajaan, penari yang menarik diri serta komitmen melibatkan suaminya, Eric Daniel.

Bagaimanapun, semua dugaan tersebut tidak mematahkan semangatnya untuk memberikan persembahan terbaik kepada peminat.

“Semakin hampir dengan hari persembahan, semakin padat rutin harian saya memandangkan saya juga bertindak sebagai penganjur.

“Kami diuji dengan pelbagai perkara sama ada secara profesional mahupun peribadi. Namun saya percaya pada aturan waktu. Jika kita sudah berusaha tetapi Allah menentukan belum masanya, itu perkara lain.

“Bagaimanapun, kali ini saya rasa inilah masanya. Walaupun tidak cukup tidur, saya tetap kuatkan diri kerana suami selalu berpesan, kalau mahu melakukan sesuatu, kita perlu menikmati pengalaman itu. Jika tidak, kita akan mudah stres,” katanya.

Konsert solo For You: Nourul dijadual berlangsung pada 30 Mei 2026 di Zepp Kuala Lumpur sebagai simbolik meraikan perjalanan seni beliau selama tiga dekad. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN