960 jam rentasi Mediterranean, pelayaran GSF 2.0 catat sejarah kemanusiaan - Utusan Malaysia

960 jam rentasi Mediterranean, pelayaran GSF 2.0 catat sejarah kemanusiaan

AKTIVIS Malaysia GSF 2.0 selamat pulang ke tanah air di KLIA. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Misi pelayaran Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dengan rekod 960 jam atau 40 hari pelayaran merentasi Laut Mediterranean, kini termaktub dalam sejarah kemanusian sebagai satu usaha kolektif dunia yang jelas bagi memecahkan kepungan serta menghantar bantuan kecemasan kepada Gaza.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, misi itu bukan sahaja diiktiraf bahkan berjaya memicu kemarahan global saat regim penjajah bertindak seperti lanun dan penyamun di zon milik antarabangsa.

Menurut beliau, GSF 2.0 juga telah mencipta satu gelombang solidariti antarabangsa yang luar biasa dalam sejarah perjuangan kemanusiaan moden apabila berjaya menghimpunkan aktivis, ahli parlimen, pengamal media, doktor, peguam serta 422 aktivis daripada lebih 40 negara bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dan menentang sekatan tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza.

“Misi kemanusiaan ini bukan sahaja berjaya mengangkat suara rakyat dunia untuk Gaza, malah telah melondehkan jenayah serta pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan oleh rejim Israel melalui rakaman langsung, dokumentasi visual dan pendedahan terbuka kepada masyarakat dunia berhubung tindakan serangan, penculikan dan rampasan bantuan kemanusiaan yang berlaku di perairan antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Sambutan Kepulangan Aktivis GSF 2.0 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini, malam tadi.

Jelasnya, insiden pintasan terhadap flotila kemanusiaan itu telah mencetuskan tekanan geopolitik antarabangsa apabila lebih 10 negara iaitu Itali, Turkiye, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia, Portugal, Malaysia serta organisasi antarabangsa seperti Organisation of Islamic Cooperation (OIC),
United Nation (UN), European Union (EU) tampil mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam tindakan rejim Israel yang menahan dan menyerang aktivis kemanusiaan di laluan perairan antarabangsa yang sah.

Katanya lagi, gelombang kebangkitan dunia terhadap insiden ini juga bukan sekadar terhad kepada kecaman, malah turut disusuli tekanan antarabangsa melalui tindakan diplomatik, ancaman sekatan ekonomi, tindakan perundangan, pengeluaran waran, nota diplomatik, mobilisasi rakyat serta demonstrasi besar-besaran di pelbagai negara.

“Tekanan ini turut diperkuat dengan campur tangan organisasi antarabangsa, badan hak asasi manusia dunia serta negara-negara termasuk Eropah dan Turkiye yang mendesak agar seluruh tahanan dibebaskan segera tanpa syarat dan pencabulan terhadap misi kemanusiaan dihentikan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN