Pelajar SPM Kuala Krau Terima Insentif YPM dan KOSMA

322 Pelajar Cemerlang SPM Parlimen Kuala Krau Terima Insentif YPM dan KOSMA

Ismail Mohamed Said (tiga kiri ) bersama pelajar cemerlang SPM 2025 Parlimen Kuala Krau pada majlis apresiasi Kecemerlangan Pendidikan baru-baru ini. – UTUSAN/ SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 322 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dalam Parlimen Kuala Krau menerima insentif daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Pendidikan di Balora Mastika Jengka, Kuala Krau baru-baru ini.

Pengerusi YPM, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, program berkenaan melibatkan peruntukan keseluruhan RM160,000 hasil kerjasama kedua-dua organisasi bagi menghargai pencapaian akademik pelajar selain memberi galakan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Usaha menghargai kejayaan pelajar perlu diteruskan bagi menyuntik semangat generasi muda untuk terus berjaya dalam bidang pendidikan. Kita mahu mereka melangkah lebih jauh dan menjadi generasi berilmu, beradab serta berkeyakinan tinggi,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Menurutnya, pelajar yang memperoleh keputusan 5A hingga 7A menerima sumbangan RM300 seorang manakala pelajar memperoleh 8A hingga 12A menerima RM500 seorang sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan mereka dalam peperiksaan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi KOSMA, Datuk Zamri Mohamed berkata, kerjasama strategik bersama YPM diharap dapat diteruskan pada masa hadapan demi manfaat pelajar luar bandar khususnya di kawasan Parlimen Kuala Krau.

“Pendidikan adalah pelaburan terbaik untuk masa depan anak-anak dan negara. Justeru, KOSMA sentiasa komited membantu usaha memperkasa pendidikan masyarakat terutama golongan muda agar mereka mempunyai peluang lebih baik untuk berjaya,” katanya.

Beliau berkata, insentif tersebut bukan sahaja menjadi penghargaan terhadap usaha gigih pelajar, malah diharap dapat menjadi pembakar semangat kepada calon SPM lain untuk terus mengejar kecemerlangan akademik pada masa hadapan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN