ALOR SETAR: Mayat dua penuntut sebuah institut pendidikan guru (IPG) yang lemas ketika aktiviti berkayak di Pantai Merdeka semalam, ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sementara menunggu kehadiran waris masing-masing dari Sarawak.
Difahamkan, proses bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa hanya akan dijalankan selepas pengecaman dibuat oleh ahli keluarga masing-masing atas permintaan mereka.
Waris mangsa yang dalam perjalanan dari Sarawak dijangka tiba di HSB lewat petang ini dengan penerbangan masing-masing.
Mangsa dikenal pasti sebagai Joey Ling Lin Siang, 20, dan Christopher Ling Jia Siang, 21, berdasarkan perkongsian ucapan takziah daripada IPG berkenaan di laman media sosialnya.
Mangsa yang merupakan penuntut Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dibawa ke HSB bagi tujuan bedah siasat susulan tragedi tersebut.
Sementara itu, turut kelihatan di pekarangan HSB adalah Pengarah IPG Kampus Perlis, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Amran Mahadi dan beberapa pegawainya sejak awal pagi.
Akhbar ini semalam melaporkan dua penuntut sebuah IPG ditemukan lemas ketika melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani. -UTUSAN








