KOTA KINABALU: Semua wakil rakyat kerajaan dan pembangkang di Sabah digesa bersatu memperjuangkan hak 40 peratus hasil negeri demi masa depan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata tuntutan itu bukan isu politik, sebaliknya agenda bersama melibatkan maruah, pembangunan dan kesejahteraan.
“Pelbagai cabaran dihadapi Sabah ketika ini termasuk kelewatan pembangunan, kekurangan peluang pekerjaan, kelemahan infrastruktur dan isu keterjaminan makanan berpunca kedudukan kewangan negeri yang terhad.
“Semua isu yang saya bangkitkan, pelaburan, logistik dan bekalan makanan akan kembali kepada satu punca utama iaitu wang.
“Sampai bila Sabah harus terus bergantung dan mengharapkan ihsan pihak lain untuk membangunkan negeri ini,” katanya sewaktu membahaskan Ucapan Dasar Kerajaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 hari ini.
Madius berkata, pelbagai cabaran dihadapi Sabah ketika ini termasuk kelewatan pembangunan, kekurangan peluang pekerjaan, kelemahan infrastruktur dan isu keterjaminan makanan berpunca kedudukan kewangan negeri yang terhad.
Madius berkata, semua isu yang dubangkitkan itu seperti pelaburan, logistik dan bekalan makanan berpunca masalah kewangan.
“Sabah memiliki potensi besar untuk maju, namun kelemahan pelaksanaan dan kebergantungan berterusan kepada Kerajaan Persekutuan menyebabkan banyak projek penting tidak dapat dilaksanakan mengikut keperluan rakyat,” katanya.
Madius memberi contoh pembangunan di POIC Lahad Datu yang masih berdepan masalah asas seperti kekurangan bekalan air terawat, kelemahan logistik serta kelewatan projek akibat proses pembiayaan yang panjang.
“Kelewatan kelulusan pembiayaan menaik taraf kemudahan barge di kawasan itu menyebabkan kos projek meningkat hampir dua kali ganda daripada RM8 juta kepada RM16 juta.
Keadaan itu membuktikan kelewatan birokrasi dan pergantungan kepada pinjaman kerajaan pusat boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta merencatkan pembangunan negeri.
Pada masa sama, beliau turut membangkitkan isu keterjaminan makanan Sabah ketika ini hanya mampu menghasilkan kira-kira 20 peratus daripada keperluan beras sendiri.
Madius berkata keadaan itu membuktikan Sabah perlu sumber kewangan lebih kukuh bagi melaksanakan pembangunan pertanian dan makanan secara berkesan.
Katanya, pemulangan hak 40 peratus seperti diperintahkan mahkamah mencerminkan maruah serta kekuatan kewangan negeri.
“Dengan hak itu, Sabah mampu membina, memimpin dan berdikari tanpa bergantung kepada pihak lain,” katanya.
Katanya rakyat sudah lama menunggu perubahan dan kini mahukan tindakan nyata daripada semua pemimpin.
Semua wakil rakyat diseru mengetepikan perbezaan politik dan bersatu menuntut hak negeri demi masa depan Sabah yang lebih maju, makmur dan sejahtera. – UTUSAN










