Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa dalam bidang Perakaunan dan Kewangan apabila berada di kedudukan antara 101 hinga 150 dalam QS World University Rankings by Subject 2026, berbanding tangga antara 151 hingga 200 sebelum ini.
Senarai ranking terbaru itu menyaksikan UUM melonjak ke kedudukan nombor satu terbaik dalam negara bagi indikator sitasi dan H-indeks, sekali gus kedua terbaik secara keseluruhan dalam negara.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, pencapaian terbaik kali ini dilakar hasil kesungguhan semua warga UUM, khususnya kakitangan akademik di Pusat Pengajian
Perakaunan Tunku Puteri Safinaz (TISSA) dan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB).
“Pendorong utama kepada peningkatan ini adalah hasil keras staf TISSA dan SEFB dalam melakukan penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan, jaringan industri dan kerjasama antarabangsa, sekali gus meletakkan UUM makin menyerlah di peringkat domestik dan antarabangsa.
“Selain itu, kualiti dan pengiktirafan antarabangsa program Perakaunan, Perakaunan (Sistem Maklumat), Perakaunan Antarabangsa, Percukaian, Kewangan, Perbankan dan Pengurusan Risiko turut menyumbang kepada permintaan tinggi dalam kalangan pelajar tempatan dan antarabangsa.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pensyarah dan keluarga besar UUM untuk pencapaian ini,” katanya mengulas penarafan global QS yang dikeluarkan baru-baru ini selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad.
Dr. Ahmad Martadha berkata, kejayaan tersebut mengukuhkan lagi kedudukan UUM sebagai antara institusi pendidikan tinggi yang semakin mendapat pengiktirafan dalam bidang pengurusan dan perniagaan.
Selain itu, Subjek Perniagaan dan Pengurusan serta Ekonomi dan Ekonometrik turut mencatatkan peningkatan daripada kedudukan 251 hingga 300 pada edisi lalu ke kedudukan 201 hingga 250 dunia pada edisi kali ini.
Pencapaian ini menggambarkan kekuatan konsisten UUM dalam bidang perniagaan dan pengurusan, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi rujukan dalam pendidikan pengurusan di rantau ini.
Sementara itu, UUM buat julung kalinya Subjek Undang-undang berjaya tersenarai dalam QS World University Rankings by Subjects 2026 dengan kedudukan 351-400.
Penyenaraian sulung ini mencerminkan perkembangan positif program undang-undang universiti serta peningkatan reputasi akademik UUM di peringkat antarabangsa.
Kejayaan ini juga menunjukkan kepelbagaian kekuatan akademik UUM yang bukan sahaja tertumpu kepada bidang pengurusan dan perniagaan, malah turut berkembang dalam disiplin lain termasuk undang-undang.
Pencapaian dalam penarafan global ini didorong oleh pelbagai faktor termasuk reputasi akademik, reputasi majikan, impak penyelidikan serta jaringan kerjasama antarabangsa yang semakin kukuh.
Edisi QS World University Rankings by Subjects 2026 kali ini menilai institusi pengajian tinggi berdasarkan 55 bidang khusus yang membentuk lima bidang utama dengan komponen penilaian adalah reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi, penerbitan H-Index serta jaringan kolaborasi antarabangsa dalam penyelidikan.
Antara subjek lain yang tersenarai dalam QSWUR by Subject 2026 termasuklah Bahasa Inggeris & Sastera (301-350), Pendidikan (401-450), Matematik (451-500) dan Sains Komputer & Sistem Maklumat (551-600).
Keputusan rasmi QS World University Rankings by Subject 2026 boleh dicapai melalui https://www.topuniversities.com/subject-rankings –UTUSAN










