JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk individu dikenali sebagai Ratu Nur Puteri Ratu Balqis yang ditahan berhubung membuat kenyataan melampau menghasut serta menghina agama Islam dan institusi diraja akan disambung reman.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, ketiga-tiga individu berusia 17 hingga 49 tahun itu kini dalam tahanan reman bermula 31 Mac lalu dan akan berakhir esok.
Menurutnya, permohonan reman itu bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut terhadap Ratu Nur Puteri Ratu Balqis, anak serta abangnya.
“Reman ke atas ketiga-tiga individu akan tamat esok, Polis Johor akan mohon sambung reman bagi melengkapkan siasatan pihak polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan ketiga-tiga suspek ditahan pada 30 Mac lalu susulan hantaran di akaun TikTok yang menghina agama Islam, institusi diraja serta kepimpinan negara.
Sementara itu kata Ab. Rahaman, pihaknya tidak dapat mengesahkan status kesihatan mental kesemua suspek, bagaimanapun sebarang tindakan lanjut bergantung kepada mahkamah sama ada perlu dirujuk jabatan psikiatrik atau tidak.
“Mereka tidak bekerja manakala remaja terbabit tidak bersekolah,” katanya. – UTUSAN









