KUALA LUMPUR: Pelakon, Ikmal Amry, memberi sokongan penuh kepada karya sulung terbitan sahabatnya, Aedy Ashraf tanpa meletakkan wang ringgit sebagai keutamaan.
Ikmal atau Mohd Zulikmal Amry Ghazali, 31, terus bersetuju untuk terlibat dalam filem Tarung: Unforgiven sebaik sahaja dihubungi Aedy Ashraf walaupun sebagai watak tambahan.
“Sebenarnya bila Aedy cakap nak buat filem, apa pun yang dia tawarkan atau suruh saya buat, saya akan sedaya upaya bantu daripada semua segi. Kecuali jadi jurukamera sebab saya tak pandai.
“Bila dia pelawa saya berlakon, saya terus kata ya. Saya tidak bincang soal harga atau berapa babak yang diberikan Saya hanya mahu lakukannya demi menyokong filem pertama terbitan dia,” katanya.
Ikmal ditemui semasa majlis rumah terbuka Tarung: Unforgiven, di sini, baru-baru ini.
Tambah Ikmal, Aedy merupakan sahabat akrab yang dikenalinya lebih sedekad menyebabkannya tidak berfikir panjang untuk memberikan sokongan kepadanya.
“Saya sudah kenal dia selama 10 ke 11 tahun. Sewaktu saya dalam kesusahan, dia sentiasa ada di sisi. Itu sahaja yang saya boleh katakan.
“Rasa ini sangat istimewa dan khas buat Aedy Ashraf sahaja, orang lain tidak ada. Kalau orang lain panggil (berlakon), belum tentu lagi (terus setuju), kena tengok-tengoklah dulu.
“Tetapi untuk sahabat baik saya, saya akan katakan ya untuk apa sahaja yang dia mahu buat,” ujarnya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai penglibatannya dalam filem Tarung, Ikmal menganggap peluang yang datang ketika ini sebagai jawapan kepada impiannya untuk mendapat karakter dalam filem aksi.
“Inilah doa saya, doa emak dan doa isteri saya. Saya selalu minta mereka doakan agar saya dapat rezeki berlakon aksi dan inilah jawapannya.
“Alhamdulillah, usaha saya selama ini tidak mengkhianati hasil.
“Kita bina badan dan tunjukkan fizikal bukan semata-mata mahu menunjuk-nunjuk (show off), tetapi kita mahu buktikan yang kita juga mampu membawa watak sebegitu dengan baik,” tambahnya.
Tarung: Unforgiven arahan Razaisyam Rashid yang menampilkan barisan pelakon seperti Zul Ariffin, Bront Palarae, Sharifah Sakinah dan Amir Ahnaf.
Naskhah terbitan Alpha47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 7 Mei ini. -UTUSAN










