Tiada pemakluman aktiviti kayak libat pelajar IPG kepada Maritim Malaysia 

Tiada pemakluman aktiviti kayak libat pelajar IPG kepada Maritim Malaysia 

NOOR AZREYANTI ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menegaskan penganjur program yang melibatkan aktiviti di laut atau kawasan perairan terbuka perlu membuat makluman awal kepada agensi berkaitan sebelum program dijalankan.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak menjelaskan, pihaknya memandang serius insiden membabitkan dua penuntut institut pendidikan guru (IPG) yang lemas ketika menyertai Program Pendidikan Luar Kampus, semalam.

Tambah beliau, pihaknya tidak menerima sebarang makluman awal berhubung penganjuran aktiviti tersebut dari mana-mana jabatan berkaitan mahupun pihak pengurusan program terbabit.

“Sebarang aktiviti berskala besar di laut atau kawasan perairan terbuka perlu dimaklum dan mendapatkan kebenaran daripada agensi berkaitan bagi membolehkan penilaian risiko dilakukan serta langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya diambil.

“Ini termasuk pemantauan keadaan cuaca, arus laut, serta kesiapsiagaan aset keselamatan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas insiden menimpa dua pelajar IPG Kampus Perlis, Joey Ling Lin Siang, 20, dan Christopher Ling Jia Siang, 21, yang lemas setelah kayak mereka terbalik di Pantai Merdeka, Sungai Petani.

Tambah Noor Azreyanti, beberapa faktor keselamatan asas juga perlu diberi perhatian oleh pihak penganjur, antaranya penyediaan jaket keselamatan yang mencukupi dan dipakai dengan betul oleh semua peserta.

“Selain itu kehadiran jurulatih atau pengendali yang bertauliah dan berpengalaman, penilaian keadaan cuaca dan laut sebelum aktiviti dijalankan, penyediaan pelan tindak balas kecemasan yang jelas.

“Maritim Malaysia turut menasihatkan semua pihak dan penganjur program luar, agar tidak memandang ringan aspek keselamatan ketika merancang aktiviti di laut,” katanya.

Ujarnya, kerjasama awal dengan agensi keselamatan bukan sahaja satu keperluan, malah mampu mengelakkan kejadian tidak diingini serta melindungi nyawa peserta. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN