KUALA LUMPUR: Kawasan tadahan sementara di sekitar Kuala Lumpur sedang diteliti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan tanah runtuh berhampiran Kampung Bukit Lanjan, Isnin lepas.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, langkah itu bertujuan mengawal aliran air permukaan sekiranya hujan kembali turun.
Katanya, cadangan tersebut dikenal pasti melalui hasil lawatan ke lokasi kejadian bagi menilai keperluan langkah mitigasi banjir di kawasan terjejas.
“Satu kawasan khusus bagi tujuan kawalan air turut dipertimbangkan bagi memastikan air larian terutama dari lokasi berisiko dapat dikawal dengan lebih berkesan.
“Langkah itu penting bagi mengelakkan aliran air dari kawasan terlibat terus memberi kesan kepada kawasan berhampiran ketika hujan lebat,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian Program Baiti Jannati (PBJ)@ Wilayah Persekutuan di Dewan Serbaguna Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh turut hadir menyerahkan Sijil Pemilikan Unit Kediaman Program Baiti Jannati (PBJ) @ Wilayah Persekutuan kepada penerima di beberapa Parlimen iaitu Bandar Tun Razak, Batu, Setiawangsa, Cheras, Lembah Pantai, Bukit Bintang dan Wangsa Maju.
Sebelum ini, penduduk sekitar Kampung Bukit Lanjan, di sini melahirkan rasa bimbang dan risau dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku berhampiran kediaman mereka pada Isnin lepas.
Rata-rata mereka menyatakan kejadian berkenaan pertama kali berlaku di kawasan itu, terutama sejak sebahagian kawasan hutan di sana berubah menjadi kebun.
Tambah Fadlun, cadangan itu menunjukkan tumpuan pihak berkuasa kini bukan sekadar kepada pemantauan, sebaliknya kepada langkah fizikal untuk mengawal aliran air di lokasi berisiko.
Katanya, usaha itu dilihat penting bagi mengurangkan tekanan air permukaan yang boleh memburukkan lagi keadaan cerun dan menjejaskan kawasan sekitar.
“Langkah berkenaan bagaimanapun bergantung kepada tindakan susulan di tapak serta keadaan cuaca dalam tempoh terdekat,” katanya. – UTUSAN










