PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama dengan Balai Seni Negara atau mana-mana agensi lain yang bertanggungjawab bagi menguruskan empat daripada 12 lukisan berkualiti tinggi yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Kesemua lukisan itu akan tiba di negara ini pada Isnin depan.
Penerimaan dan pengendalian karya mewah itu akan dilakukan secara profesional termasuk aspek penjagaan fizikal, pemuliharaan serta kawalan persekitaran seperti pencahayaan dan suhu.
Selain itu, setiap lukisan akan melalui proses dokumentasi terperinci termasuk pengesahan provenans dan sijil ketulenan bagi memastikan keaslian karya.
Kesemua aset berkenaan juga akan dilindungi dengan insurans bersesuaian berdasarkan nilai semasa yang dianggarkan melebihi AS$30 juta (RM140 juta).
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, langkah penyimpanan rapi akan dilaksanakan bagi memastikan karya terbabit kekal terpelihara memandangkan ia juga berpotensi menjadi bahan bukti dalam siasatan berkaitan skandal 1MDB.
Katanya, proses penghantaran lukisan itu dikendalikan oleh Sotheby’s Auction House dengan pemantauan rapi oleh Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) serta SPRM sendiri bagi menjamin keselamatan dan ketulenannya sepanjang transit.
“Masih terdapat beberapa aset lain berkaitan 1MDB di luar negara yang sedang dalam proses untuk dibawa pulang dengan kerjasama agensi penguatkuasaan antarabangsa,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohamad Zamri berkata, keputusan lukisan berkenaan sama ada akan dipamerkan kepada umum atau disimpan sebagai bahan bukti akan ditentukan oleh kerajaan selepas perbincangan lanjut bersama SPRM.
“Pemulangan aset seni ini dilihat bukan sahaja menyumbang kepada pemulihan dana negara daripada segi kewangan malah mempunyai nilai strategik dalam usaha pengesanan aliran dana haram melalui forensik kewangan serta kerjasama rentas sempadan.
“Ia juga sejajar dengan komitmen antarabangsa di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC) dalam mengesan, membekukan dan memulangkan aset yang diperoleh secara tidak sah,” jelasnya.
Pada masa sama, katanya, langkah itu membawa nilai simbolik yang penting dalam memperkukuh keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti.
“Komitmen berterusan untuk membawa pulang lebih banyak aset negara yang masih berada di luar negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, sebuah lukisan membabitkan tokoh seni utama Perancis telah terjual pada harga kira-kira RM128.66 juta (25.22 juta euro)
Susulan penjualan itu, karya itu tidak berpeluang untuk dibawa ke Malaysia kerana sudah dibeli entiti tertentu pada harga tinggi
Mohamad Zamri, mengesahkan penjualan karya berkenaan pada nilai tinggi namun tidak mengesahkan maklumat lanjut berhubung karya itu.
“SPRM kini sudah mengesan karya terbabit serta jumlah dana yang akan dipulangkan semula kepada kerajaan Malaysia oleh entiti berkenaan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kira-kira empat daripada 12 lukisan berkualiti tinggi karya pelukis tersohor dunia akan tiba di negara ini pada Isnin depan.
Berdasarkan maklumat, karya berkenaan sebelum ini dibeli melalui lelongan antarabangsa di New York pada November 2014 dengan nilai keseluruhan mencecah lebih RM930,000 mengikut kadar semasa.
Antara karya yang terlibat ialah lukisan Composition (1953) oleh Joan Miró yang dibeli pada harga kira-kira RM440,000, melebihi anggaran awal antara RM280,000 hingga RM375,000.
Turut tersenarai ialah karya Maurice Utrillo bertajuk Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV (1934) yang diperoleh pada harga sekitar RM235,000, jauh mengatasi anggaran asal antara RM95,000 hingga RM140,000.
Selain itu, karya Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus turut dibeli pada harga kira-kira RM132,000 berbanding anggaran RM70,000 hingga RM95,000.
Sementara itu, karya litograf berwarna L’Ecuyere et les clowns (1961) hasil Pablo Picasso direkodkan dibeli pada harga sekitar RM123,000, jauh melebihi anggaran awal sekitar RM23,000 hingga RM33,000. – UTUSAN










