PETALING JAYA: Pelakon, Nora Danish mendedahkan penghijrahannya beberapa tahun lalu mendorongnya untuk memiliki jiwa yang tenang dengan mengamalkan solat Tahajud sebagai permulaan rutin hariannya.
Menurut Nora, perkara itu dilakukan selepas disarankan oleh beberapa rakan usrahnya di saat dirinya benar-benar buntu mencari jalan untuk keluar dari segala kekusutan tatkala dilanda ujian.
“Sejak mula berhijrah, saya sering menghadiri kelas agama. Ramai yang menyarankan agar bangun menunaikan solat tahajud untuk hati yang lebih tenang.
“Saya cuba amalkannya sebab saya sebab mahu solat istikharah untuk berdoa agar dikurniakan ketenangan.
“Tetapi saya sendiri tidak pasti bilakah ketenangan itu akan hadir dalam diri saya,” katanya menerusi sebuah audio siar.
Dalam masa sama, pelakon drama Puteri itu berpendapat amalan itu amat berkesan apatah lagi dirinya kini mampu mengharungi segala dugaan dengan tenang.
“Namun, apabila saya menghadapi ujian sekarang yang melibatkan beberapa masalah, saya dapat menghadapinya dengan tenang.
“Jadi, saya merasakan ketenangan itu mungkin hasil daripada amalan bangun solat sunat tahajud, yang menjadikan diri saya lebih tenang,” ujarnya.









