TAWAU: Seramai 74 warga China diperintah lanjutan reman di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, berhubung kes sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’ yang berselindung di sebalik operasi sebuah resort, 7 April lalu.
Majistret Don Stiwin Malanjum membenarkan lanjutan reman itu selepas menerima permohonan daripada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Siti Dayana Adillah.
Dalam prosiding permohonan reman yang mengambil masa kira-kira lima jam itu, mahkamah membenarkan 54 suspek direman selama tiga hari manakala 17 suspek direman selama tiga hari bermula hari ini.
Perintah itu dikeluarkan selepas tempoh tahanan reman terhadap suspek berusia 17 hingga 46 tahun yang dikeluarkan sebelum ini, tamat hari ini.
Mahkamah turut membenarkan suspek yang mempunyai masalah kesihatan dirujuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan susulan dan diberi hak membuat laporan polis berhubung aduan dikasari pihak polis ketika dalam tahanan reman.
Semua suspek dibenarkan mendapat khidmat peguam dan berhubung dengan ahli keluarga masing-masing. Kes disiasat di bawah Seksyen 420/120(B) Kanun Keseksaan.
Mengikut keterangan kes, 80 ditahan membabitkan 78 warga China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos, pukul 9.20 malam, Selasa lalu.
Bagaimanapun enam daripada suspek termasuk seorang warga Laos dibebaskan, namun dikehendaki membantu siasatan sekiranya diperlukan.
Operasi dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Tawau, Sandakan dan Keningau.
Sindiket dipercayai memasuki Sabah sejak tiga bulan lalu dan menjalankan kegiatan penipuan secara dalam talian dengan menyamar sebagai anggota polis dari China. Sasaran utama sindiket adalah warga Amerika Syarikat (AS) berketurunan Cina yang berada di negara itu.
Lokasi serbuan dipercayai dijadikan tempat operasi dan pusat panggilan merangkumi pusat kerja, latihan serta premis kediaman dan tempat rehat. Antara barang yang dirampas ketika serbuan itu adalah telefon bimbit, komputer, skrip, beg, pasport, sepanduk, modem serta pakaian seragam polis China. – UTUSAN









