ALOR GAJAH: Polis berjaya menumpaskan satu kegiatan pengedaran dadah selepas menahan seorang lelaki tempatan serta merampas sejumlah besar pil ecstasy bernilai lebih RM591,000 dalam satu operasi di kawasan Pedas–Ayer Keroh, di sini, pada 15 April lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Ahmad Abu Bakar berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang oleh anggota Peronda Lebuh Raya selepas didapati memandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 13,147 penagih jika tidak dipintas oleh pihak polis.
“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan dipandu suspek telah menemukan sebanyak 3.94 kilogram pil ecstasy yang dianggarkan bernilai RM591,607.50.
“Turut disita sebuah kereta jenis Proton Saga dengan anggaran nilai RM20,000, termasuk sebuah kereta Proton S70 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM611,607.50,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak tahun lalu dan bekalan dadah tersebut adalah untuk pasaran tempatan.
Ahmad berkata, ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati lelaki itu negatif dadah, namun mempunyai empat rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah sejak tahun 2021 hingga 2025.
Jelasnya, suspek sebelum ini pernah dijatuhi hukuman daripada Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 6(3) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
“Siasatan juga mendapati suspek berperanan sebagai penghantar dan dipercayai membawa bekalan dadah dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan selatan tanah air dan suspek baru pertama kali menjalankan kegiatan di kawasan ini.
Tambah beliau, suspek kini direman bermula 16 April hingga 22 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 kali. – UTUSAN










