KUALA LUMPUR : Polis akan memperkukuh kerjasama dengan pengamal media bagi mengelakkan sebarang salah faham pada masa hadapan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, langkah ini diambil susulan insiden salah faham antara pihak polis dan tiga wartawan ketika membuat liputan kejadian serangan geng di sebuah pusat karaoke di Taman Shamelin, Cheras, baru-baru ini.
Menurut beliau, berlaku salah faham di lokasi kejadian sehingga menyebabkan anggota polis yang bertugas meminta wartawan memadamkan gambar serta video yang dirakam.
“Polis dan media masing-masing memainkan peranan penting dan saling melengkapi. Namun, konflik kadangkala tidak dapat dielakkan.
“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan pegawai dan anggota supaya lebih bertoleransi terhadap pihak media pada masa akan datang. Media dan polis tidak dapat dipisahkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Fadil mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) serta dua wartawan yang terlibat dalam insiden tersebut.
Fadil berkata, perbincangan telah diadakan bagi menyelesaikan isu berkenaan secara baik serta menambah baik penyelarasan antara polis dan media pada masa hadapan.
“Saya juga telah meminta pasukan saya supaya terus berhubung dengan wakil media bagi meningkatkan kefahaman, toleransi dan kejelasan mengenai tatacara yang sesuai ketika berada di lokasi kejadian,” katanya.
Sebelum ini, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan yang didakwa diambil ke atas tiga wartawan akhbar berbahasa Cina yang membuat liputan kes tersebut.-UTUSAN










