Rempit LSTIP: Jangan mudah buat kesimpulan, hukum anak muda Kelantan - Utusan Malaysia

Rempit LSTIP: Jangan mudah buat kesimpulan, hukum anak muda Kelantan

TANGKAP layar video tular menunjukkan sekumpulan ‘mat rempit’ ‘beraksi’ di balai pelepasan terminal baharu LTSIP Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menegaskan isu aktiviti rempit yang melibatkan segelintir anak muda tidak wajar dilihat secara sempit atau digeneralisasikan sehingga mencerminkan keseluruhan generasi muda negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, majoriti anak muda Kelantan sebenarnya aktif dalam pelbagai bidang positif seperti pendidikan, sukan, keusahawanan dan program pembangunan diri.

“Walaupun terdapat beberapa insiden yang tular di media sosial, kita perlu melihat keseluruhan gambaran anak muda di Kelantan.

“Kebanyakan mereka aktif dan memberi sumbangan positif kepada masyarakat melalui pendidikan, sukan, keusahawanan dan pelbagai program pembangunan diri,” katanya di sini semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra itu memberitahu, pendekatan kerajaan negeri bagi menangani isu ini adalah menyeluruh, bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.

Katanya, ia termasuk memperkukuh program pembangunan belia melalui inisiatif seperti Kelantan Future Leaders Institute, Anak Muda Rakan Al-Quran serta pelbagai aktiviti akar umbi di bawah Urusetia Belia dan Sukan.

“Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan riadah dan ruang aktiviti alternatif, termasuk tapak sukan motocross di Mukim Sokor, Tanah Merah, serta menyokong acara permotoran sihat seperti RXZ Forever Legend dan Mat Motor Day,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Zamakhshari berkata, kerajaan negeri memandang serius isu aktiviti rempit yang berlaku di LTSIP itu.

Katanya sebarang perlakuan yang membahayakan keselamatan awam tidak boleh dikompromi dan tindakan tegas akan diambil melalui penguatkuasaan.

Ujarnya, kerajaan negeri bekerjasama rapat dengan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi mempergiat operasi di kawasan berisiko termasuk LTSIP.

“ada masa sama isu sosial sebegini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, institusi pendidikan dan komuniti bagi membina nilai, disiplin dan tanggungjawab dalam kalangan anak muda.

“Isu ini harus ditangani secara bijaksana dengan fokus kepada penyelesaian jangka panjang, bukannya sekadar pelabelan atau persepsi negatif,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan tindakan kumpulan mat rempit menjadikan balai pelepasan di terminal baharu LTSIP di sini sebagai litar bukan hanya menyedihkan, bahkan sangat memalukan.

Katanya, Kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaik taraf LTSIP bagi memastikan perjalanan udara yang lebih baik untuk Kelantan.

Sebelum ini, media melaporkan, balai pelepasan di terminal baharu LTSIP yang kurang sebulan beroperasi secara penuh dijadikan litar lumba oleh kumpulan mat rempit.

Aktiviti terbabit dikatakan berlaku sejak Ramadan lalu sehingga berlarutan pada Jumaat malam apabila ia mulai tular di media sosial selepas dirakam oleh pengguna lapangan terbang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN