JERANTUT: Mangsa kedua kejadian lemas di Sungai Pahang berhampiran Kampung Durian Hijau, Pulau Tawar di sini ditemukan terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Mayat remaja lelaki, Muhammad Amirul Ashraf Abdullah, 14, yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 9.50 pagi hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Raja Arif Raja Shamsudin berkata, mayat mangsa dijumpai oleh orang ramai dan anggota penyelamat sebelum dibawa naik ke tebing sungai.
Menurutnya, mayat tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke unit forensik hospital bagi proses bedah siasat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Mohd. Azahari Mukhtar berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, khususnya ketika melakukan aktiviti di sungai kerana arus boleh berubah secara tiba-tiba,” katanya.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi mangsa, Muhammad Danial Haikal Shamsudin, 14, ditemukan terlebih dahulu pada pukul 4.20 petang semalam.
Mayat mangsa itu dijumpai kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian, juga dalam keadaan terapung di permukaan sungai.
Kedua-dua mangsa merupakan rakan sekampung dan pelajar sekolah yang sama, dipercayai keluar mandi bersama lima lagi rakan berusia antara 13 hingga 15 tahun.
Dalam kejadian petang Jumaat lalu, mereka dikatakan mandi di sungai berkenaan sebelum kedua-dua mangsa tiba-tiba hilang dari permukaan air, dipercayai dihanyutkan arus deras. – UTUSAN










