Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) 4.42, berbanding 4.49 pada 2024. Seramai 13,779 calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2025, berbanding 13,827 calon pada 2024.
Kejayaan manis calon-calon yang hebat ini mencetuskan satu persoalan penting di minda setiap calon dan juga ibu bapa iaitu apa hala tuju selanjutnya setelah mengetahui keputusan masing-masing.
Ironinya, fasa peperiksaan sudah berjaya dilepasi dengan cemerlang, maka sekarang bermula pula fasa selanjutnya untuk meningkatkan nilai potensi diri dan mencorak masa depan melalui ilmu dan kemahiran di peringkat yang lebih tinggi.
Lazimnya calon dan ibu bapa akan berada dalam dilema kerana perlu membuat pilihan yang betul berdasarkan keputusan yang dicatat, merit yang diperoleh serta minat dan bidang yang boleh diceburi.
Hakikatnya, peluang untuk melanjutkan pengajian di pelbagai peringkat sangat terbuka luas. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) misalnya menyediakan 86,552 tempat untuk lepasan SPM 2025 di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) bagi program pengajian peringkat sijil, asasi dan diploma.
Di Universiti Putra Malaysia (UPM) sendiri misalnya ditawarkan peluang di peringkat asasi dan diploma yang akan membuka laluan kepada calon untuk mengikuti bacelor dalam pelbagai bidang profesional kelak.
Justeru inilah masanya untuk lepasan SPM merebut peluang yang ditawarkan supaya dapat meneroka dan mencipat masa depan yang lebih gemilang, berdaya tahan dan terjamin.
Dalam hal ini apa yang penting sekarang adalah, calon perlu bijak memilih peringkat pengajian dan bidang mengikut kelayakan masing-masing. Pilihan yang betul dan tepat mengikut pencapaian dan merit yang diperlukan akan membolehkan calon memperoleh tawaran pengajian yang diidamkan.
Mustahak untuk diberi perhatian soal pilihan antara kemahuan atau minat dengan kelayakan hakiki iaitu pilihan mengikut keputusan yang diperolehi.
Calon perlu bijak membezakan antara minat dan kelayakan agar membuat pilihan yang betul dan dalam hal ini apa yang penting ialah kita layak memasuki bidang pengajian apa. Sewajarnya kita perlu memilih mengikut kelayakan supaya tidak berputih mata apatah lagi persaingan untuk merebut tempat yang ditawarkan dalam kalangan calon cukup tinggi.
Dalam hal ini dicadangkan agar calon banyak membuat perbincangan dan mendapatkan input serta pandangan beberapa pihak seperti ibu bapa, rakan-rakan senior dan guru terutamanya kaunselor sekolah.
Ibu bapa misalnya perlu menasihatkan anak-anak berdasarkan keputusan yang diperolehi supaya anak membuat keputusan yang betul. Ibu bapa perlu membantu seimbangkan situasi antara minat anak dengan bidang yang mereka layak mengikut kelayakan keputusan SPM yang diperolehi.
Selain itu calon juga boleh meminta pandangan kaunselor sekolah yang lazimnya sangat arif tentang bidang pengajian serta laluan kerjaya masa depan sesuatu bidang.
Tindakan ini akan membolehkan lepasan SPM membuka minda dan melihat keperluan masa depan pasaran kerjaya di negara ini, khususnya dalam bidang keperluan yang mendesak seperti pertanian dan teknologi maklumat.
Dalam konteks pertanian misalnya semua pihak mula risau dan bercakap tentang isu keterjaminan makanan terutamanya kecukupan bekalan makanan apabila dunia berhadapan dengan pelbagai krisis dan konflik geoplotik.
Maka golongan muda perlu mengubah persepsi tentang bidang pertanian yang sering dilihat sebagai tidak menarik atau popular. Hentikan pandangan negatif sebaliknya terokai peluang besar yang terdapat dalam bidang pertanian khususnya jika kita memiliki kemahiran dan ilmu yang baik dalam bidang tujahan utama negara ini.
Dalam hal ini UPM boleh dijadikan pilihan utama kerana menawarkan pelbagai bidang pengajian dalam bidang pertanian bermula dari peringkat asasi, diploma, bacelor dan siswazah. Diharap akan ada lebih ramai anak muda memohon untuk mengikuti pengajian dalam bidang pertanian demi masa depan kerjaminan makanan negara.
Tuntasnya, ini adalah momen yang cukup penting dan genting kepada semua lulusan SPM 2025 dan diharap masing-masing dapat membuat pilihan yang betul dan tepat sekali gus merebut peluang-peluang yang disediakan oleh IPTA di negara ini.
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED,
Yang Dipertua PIBG
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang, Selangor
Pelajar










