BANGI: McDonald’s Malaysia memeriahkan sambutan Aidilfitri dengan mengagihkan sebanyak 1,000 burger Chicken Foldover kepada penduduk sekitar Bangi sempena penganjuran Rumah Terbuka Raya Mekdi 2026 malam tadi.
Pengarah Kanan Komunikasi Korporatnya, Shamsidar Yahya berkata, inisiatif itu merupakan usaha memberi kembali kepada komuniti yang menjadi nilai teras syarikat yang
telah diusahakan sejak 2017 dahulu.
“Pengagihan tersebut turut melibatkan penerima dalam kalangan komuniti setempat termasuk Rumah Bakti Al Kauthar dan anggota keselamatan di sekitar Bangi.
“McDonald’s Malaysia telah melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan melalui rangkaian restoran di seluruh negara,” ketika ditemui pada rumah terbuka itu.
Menurutnya, program menyantuni komuniti seperti rumah orang tua dan anak yatim terus menjadi fokus utama dalam pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat.
“Sepanjang Ramadan lalu, kami turut menyumbang moreh kepada kira-kira 300 masjid dan surau di seluruh Malaysia.
“McDonald’s Malaysia juga menyediakan kit Ramadan di Ronald McDonald House Charities Malaysia bagi membantu golongan memerlukan,” katanya.
Menurut Shamsidar, majlis berbuka puasa khas turut dianjurkan melibatkan anak-anak yatim sebagai sebahagian usaha mendekati komuniti.
Katanya, pengagihan sampul raya yang menampilkan lukisan kanak-kanak di bawah program Ronald McDonald turut diketengahkan bagi menyemarakkan Aidilfitri.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak 50,000 hidangan Nasi McD diagihkan kepada pelajar universiti melibatkan 20 institusi pengajian tinggi terpilih.
“Pelaksanaan program seumpama itu akan diteruskan dengan perancangan lanjut yang masih dalam peringkat perbincangan tanpa tarikh tetap setakat ini,” katanya. – UTUSAN










