KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan reman seorang lelaki yang merupakan pemilik akaun bagi membantu empat anggota polis menerima suapan berjumlah RM12,000.
Perintah reman ke atas lelaki berusia 30-an yang bermula hari ini sehingga 13 April itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi tadi.
Penahanan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan meningkat kepada lima orang, termasuk empat anggota polis yang sebelum ini direman bagi membantu siasatan kes sama.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an telah ditahan kira-kira jam 5 petang semalam di rumahnya.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki bersubahat bersama empat anggota polis yang telah ditahan reman selama lima hari Selasa lalu.
“Suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, empat anggota polis ditahan reman lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berjumlah RM12,000.
Perintah tahanan reman ke atas semua suspek terdiri daripada masing-masing seorang anggota berpangkat sarjan dan koperal serta dua konstabel itu dikeluarkan Hakim Rais Imran Hamid selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kota Bharu.-UTUSAN










