PETALING JAYA: Bayangkan memetik sendiri buah laici segar terus dari ladang sambil menikmati panorama tropika yang memukau, itulah pengalaman unik yang menanti pelancong Malaysia di Pulau Hainan menjelang Mei dan Jun ini.
Pulau peranginan di selatan China itu kini semakin giat dipromosikan sebagai destinasi mesra Muslim, sekali gus membuka peluang kepada pelancong tempatan menikmati percutian tanpa was-was.
Menurut Pakar Jualan Hainan Kang Tai Travel, Panda, tarikan Hainan bukan sekadar pada keindahan pantainya, malah pengalaman bermusim seperti memetik laici menjadikan percutian lebih bermakna.
Katanya, keunikan tersebut memberi nilai tambah kepada pelancong yang mahukan pengalaman berbeza daripada destinasi biasa.
“Sanya sangat mesra kepada pelancong Muslim. Kami mempunyai banyak restoran halal, hotel halal dan terdapat enam buah masjid di bandar ini, selain lebih 10,000 penduduk Muslim menetap di sana,” katanya.
Dalam suasana santai bandar pesisir itu, pelancong bukan sahaja dapat berehat di pantai berpasir putih, malah mudah mendapatkan kemudahan ibadah serta makanan halal.
Tambah Panda, faktor cuaca turut menjadi kelebihan utama apabila suhu di Hainan kekal selesa sepanjang tahun.
“Musim panas kurang daripada 34 darjah Celsius dan musim sejuk sekitar 22 hingga 28 darjah Celsius,” jelasnya.
Keadaan itu menjadikan Hainan sesuai dikunjungi pada bila-bila masa, khususnya bagi keluarga yang membawa anak kecil.
Selain pantai, keindahan semula jadi Hainan turut terserlah melalui kawasan pergunungan dan dusun buah-buahan tropika yang subur.
Musim memetik laici pada Mei dan Jun pula menjadi kemuncak pengalaman, apabila pelancong berpeluang merasai sendiri buah segar yang baru dipetik.
Antara lokasi yang sering menjadi pilihan ialah Ocean Flower Island yang merupakan pulau buatan manusia terbesar di China.
Pulau itu menawarkan pelbagai tarikan termasuk taman tema, taman lautan, muzium serta kemudahan penginapan bertaraf lima bintang.
“Orang Islam sangat suka tempat ini kerana selain pemandangannya yang cantik, kami juga menyediakan makanan halal dan pelbagai aktiviti untuk keluarga termasuk kanak-kanak,” ujarnya.
Tidak ketinggalan, Lembah Binglang Li dan Miao turut mencuri perhatian pelancong yang ingin mendekati warisan budaya tempatan.
Kawasan itu menampilkan kehidupan masyarakat etnik Li dan Miao yang kaya dengan tradisi serta sejarah tersendiri.
Menurut Panda, lokasi tersebut turut diiktiraf sebagai destinasi pelancongan bertaraf 5A di China.
Malah, warisan budaya tidak ketara seperti seni tenunan etnik Li di kawasan itu turut mendapat pengiktirafan UNESCO.

Sementara itu, Pengarah Urusan Orange Leisure Sdn. Bhd., Jimmy Goh berkata, musim laici merupakan waktu terbaik untuk rakyat Malaysia merancang percutian ke Hainan.
Katanya, selain menikmati keindahan alam, pelancong juga dapat merasai pengalaman autentik yang sukar diperoleh di tempat lain.
“Keistimewaan Hainan bukan sahaja pada pantainya, tetapi juga pengalaman bermusim seperti memetik laici serta membeli-belah di pusat bebas cukai yang sangat besar.
“Kami berharap lebih ramai pelancong Muslim dari Malaysia datang menikmati pakej mesra Muslim yang kami sediakan,” katanya. – UTUSAN










