JOHOR BAHRU: Kapal Ocean Thunder yang membawa muatan bahan api dan melepasi Selat Hormuz susulan konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran tiba di pelabuhan Pengerang, Kota Tinggi dekat sini pada pukul 7.37 malam tadi.
Perkara itu disahkan Petronas dalam kenyataan ringkas di platform Facebook, hari ini.
“Kapal Ocean Thunder telah tiba di Malaysia dengan satu juta tong minyak mentah dari Basrah, Iraq.
“Ini sebahagian daripada rangkaian bekalan yang luas, salah satu usaha Petronas dalam memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil,” katanya.
Rabu lalu, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kapal Ocean Thunder ialah kapal Malaysia pertama yang bakal tiba di negara ini selepas melepasi selat tersebut, manakala kapal kedua dijangka tiba minggu depan.
“Satu lagi kapal Malaysia dijangka tiba minggu depan. Terdapat lima lagi kapal Malaysia yang masih berada di Selat Hormuz,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bekalan minyak untuk bulan April dan Mei dijangka berada dalam keadaan yang terkawal.
Petronas turut memaklumkan, kapal tersebut membawa sejuta tong minyak mentah dengan anggaran melibatkan 62 hingga 64 juta liter diesel serta 45 hingga 48 juta liter petrol.
“Kapal itu turut membawa 22 hingga 24 juta liter bahan api pesawat dan lima hingga enam juta liter gas petroleum cecair (LPG). Tempoh penapisan yang diperlukan adalah selama enam hari,” tambahnya. – UTUSAN










