PEKAN: Ketua Hakim Syarie Pahang, Datuk Abdul Walid Abu Hassan, 63, membuktikan usia bukan penghalang apabila berjaya menamatkan larian sejauh 15 kilometer dalam program Mara Lasak Pahang 2.0 di Felda Chini, di sini.
Beliau mengambil masa tiga jam menamatkan cabaran itu,sekali gus mendapat perhatian Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang kagum dengan kesungguhan dan keupayaan Abdul Walid.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kejayaan Abdul Walid menjadi bukti bahawa tiada alasan untuk anak muda tidak menyertai kejohanan lasak tersebut.
“Kalau peserta berusia 63 tahun pun mampu habiskan larian, anak muda sepatutnya lebih bersemangat untuk turun padang,” katanya ketika ditemui di Felda Chini di sini semalam.
Menurut Fadzli, Mara Lasak Pahang 2.0 mencatatkan penyertaan 1,050 peserta iaitu hampir dua kali ganda berbanding 540 peserta pada penganjuran pertama di Dong, Raub tahun lalu.
Katanya, sebanyak 105 pasukan mengambil bahagian dalam empat kategori iaitu VIP, uniform, agensi/jabatan/GLC serta institusi pengajian tinggi (IPT), belia dan komuniti.
“Kategori agensi, jabatan dan GLC mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 49 pasukan. Turut serta ialah pasukan Tengku Mahkota Pahang yang disertai 20 orang,” katanya.
Beliau berkata, Mara Lasak Pahang 3.0 akan datang dijangka dianjurkan di Ulu Tembeling, Jerantut dengan membuka penyertaan kepada peserta luar dari negeri ini.
“Tengku Mahkota Pahang titah buat di Ulu Tembeling pula selepas ini. Insya-Allah saya yakin, Mara Lasak 3.0 lebih meriah, kita akan buka penyertaan orang luar,” katanya.
Berhubung acara itu, beliau berkata, peserta setiap pasukan yang terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita perlu melalui cabaran berlari melalui laluan hutan, ladang, paya dan jalan berbukit sepanjang 15 kilometer dengan membawa muatan seberat lima kilogram.
“Keunikan Mara Lasak Pahang ini kena mula dan habis secara berpasukan. Itulah Mara Lasak, bermula 10 orang, berakhir pun 10 orang. Ia bukan acara individu,” katanya. – UTUSAN










