Pesawah beli jentera sendiri elak bayar upah tinggi

Pesawah beli jentera sendiri elak bayar upah tinggi

PEMILIK jentera pertanian yang hadir pada program Permohonan Permit Khas Pembelian Petrol dan Diesel di Lubuk Pinang Air Hitam di Jerlun.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Peningkatan kos operasi akibat kenaikan harga diesel menyebabkan seorang pesawah nekad membeli jentera pertanian sendiri bagi mengelak membayar upah yang tinggi ketika ini.

Pesawah muda, Muhammad Dhiyauddin Abd Rahman, 30, berkata, walaupun terpaksa melabur sedikit wang untuk membeli sebuah traktor terpakai bagi mengerjakan tujuh hektar sawahnya, namun dia tetap mampu mengurangkan kerugian sehingga RM5,000.

“Saya beli traktor dua bulan lepas apabila dengar khabar upah akan naik. Kami terpaksa beli sebab nak bertahan. Masih ada kerugian tetapi cuma RM2,000 sahaja tetapi kalau tak beli rugi sehingga RM5,000 sebab tak perlu lagi upah orang dengan kos sehingga RM13,000 termasuk mesin tuai.

“Dengan bantuan diesel 200 liter ini insyaAllah kurang sedikit kerugian. Saya akan cuba untuk bantu petani yang lain juga menggunakan permit diesel mereka dengan jentera ini,” katanya ketika ditemui pada program Permohonan Permit Khas Pembelian Petrol dan Diesel di Lubuk Pinang Air Hitam, di sini hari ini.

Program anjuran Stratkompen Madani Kedah dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah itu mensasarkan pemilik jentera pertanian di kawasan tersebut untuk memperoleh permit khas bagi pembelian bahan api lebih 20 liter.

Menurut Setiausaha Stratkompen Madani Kedah, Muhammad Izuwan Iberahim, program bertujuan memudahkan petani terlibat membuat permohonan selain memperoleh maklumat terperinci.

“Program bermula minggu lepas dan akan berlangsung di 20 lokasi lain seluruh daerah Kedah sehingga bulan depan. Kita menyeru agar semua terlibat hadir kerana ia akan memudahkan mereka daripada pergi ke pejabat KPDN sendiri,” katanya.

Seorang pemilik jentera dan pesawah, Wan Muhammad Ainson Wan Din, 56, berkata, program sedikit sebanyak memudahkan urusan mereka untuk memperoleh permit.

“Apabila tak perlu ke pejabat KPDN untuk urusan sebegini rasa senang berurusan dan kos nak ke Alor Setar pun tak perlu kerana diadakan berdekatan rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN