PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Syariah Selangor menolak permohonan yang difailkan pelakon, Fattah Amin terhadap bekas isterinya, Nur Fazura berhubung dakwaan pelanggaran perintah hak lawatan anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Tuan Salehan pada 31 Mac lalu selepas meneliti dokumen dikemukakan.
Peguam syarie mewakili Fazura, Fakhrul Azman berkata, mahkamah mendapati tiada asas kukuh untuk memulakan tindakan komital atau tunjuk sebab terhadap anak guamnya.
“Dalam erti kata lain, permohonan tersebut ditolak kerana tiada sebab untuk mengenakan tindakan tunjuk sebab terhadap Fazura. Pada hemat mahkamah, urusan hak lawatan berjalan dengan baik dan lancar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa sebarang tindakan penguatkuasaan perintah perlu melalui peringkat kebenaran mahkamah terlebih dahulu, namun permohonan Fattah gagal melepasi tahap berkenaan.
“Sebelum sebarang tindakan diambil, kebenaran mahkamah perlu diperoleh terlebih dahulu. Bagaimanapun, dalam kes ini, peringkat mendapatkan kebenaran itu sendiri tidak diluluskan,” ujarnya.
Terdahulu, Fattah dilaporkan memfailkan permohonan tersebut pada awal Februari lalu selepas mendakwa berlaku gangguan terhadap hak lawatannya.
Bagaimanapun, Fakhrul menegaskan bahawa isu-isu kecil yang timbul berhubung pertemuan antara Fatima dan bapanya bukan disengajakan, sebaliknya melibatkan faktor luaran serta rutin harian kanak-kanak itu.
“Mungkin ada dua atau tiga kali Fatima sendiri tidak mahu pergi kerana penat atau lewat akibat kelas mengaji. Namun, tahun ini Fatima berpeluang beraya bersama bapanya,” katanya.
Sebelum ini, isu berkenaan menjadi tular di laman sosial selepas seorang pengguna memuat naik dokumen prosiding sebutan kes membabitkan kedua-dua selebriti itu di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 31 Mac lalu.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura sah bercerai talak satu pada 7 Oktober 2024 selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Fazura memperoleh hak penjagaan penuh terhadap anak tunggal mereka, manakala Fattah diberikan hak lawatan termasuk bermalam dua kali sebulan serta pertemuan tiga kali seminggu. — UTUSAN










