MELAKA: Seorang pemandu bas ekspres yang dikesan memandu secara berbahaya akhirnya tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah hari ini.
Lelaki berusia 53 tahun itu hadir ke Bahagian Trafik IPD berkenaan bagi membantu siasatan susulan video berdurasi kira-kira satu minit yang memaparkan pemanduan tidak selamat yang dilakukannya ketika membawa penumpang telah tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitenden Ahmad Abu Bakar berkata, suspek telah ditahan sejurus hadir ke balai polis berkenaan.
Menurutnya, pihak polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki itu di Mahkamah Majistret Alor Gajah, esok bagi membantu siasatan lanjut.
“Permohonan reman akan dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial menunjukkan seorang pemandu bas memandu dalam keadaan berbahaya apabila hanya menggunakan sebelah tangan sambil duduk menyandar ke belakang ketika kenderaan sedang bergerak pada waktu malam.
Rakaman itu turut mendakwa pemandu terbabit berada dalam keadaan mabuk selain bertindak memaki hamun penumpang selepas ditegur.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika bas ekspres berkenaan dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru melalui lebuh raya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – UTUSAN










