Dua mahasiswa daripada Jepun, Ko Tanaka dan Haruki Sakaguchi, masing-masing berusia 18 tahun, melahirkan rasa teruja dan kagum terhadap keunikan budaya Melayu sepanjang menyertai program pertukaran pelajar di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, di sini, selama 14 hari.

Ko Tanaka dan Haruki Sakaguchi merupakan mahasiswa Universiti Perdagangan dan Perniagaan Nagoya (NUCB) dalam jurusan Bahasa Antarabangsa, Fakulti Perniagaan dan Pentadbiran.
Mereka terpilih menyertai program pertukaran pelajar di bawah kendalian NGO Malaysian Outreach Volunteer Exchange (MOVE) dengan kerjasama NGO Jepun, NICE, yang memilih sukarelawan dalam kalangan mahasiswa universiti di negara itu.
Ko Tanaka berkata, ini merupakan pengalaman pertamanya menjejakkan kaki ke Malaysia dan peluang tersebut membuka ruang luas untuk mengenali secara dekat kehidupan, adat serta budaya masyarakat Melayu di kampung angkatnya.
“Saya sangat gembira dan terharu dengan layanan keluarga angkat serta penduduk kampung yang begitu mesra. Makanan Melayu juga sangat sedap dan unik,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Menurutnya, sepanjang berada di Johor Bahru, mereka terlibat dalam pelbagai aktiviti tradisional antaranya belajar membuat batik, mengupas kelapa, mempelajari seni silat, bermain sepak takraw, memasak hidangan Malaysia serta melawat Felda Adela termasuk
mempelajari pembuatan bahulu.
Selain itu, mereka turut didedahkan dengan aktiviti ekonomi masyarakat setempat seperti menoreh getah serta mendalami ilmu berkaitan penternakan lebah dan penghasilan madu kelulut.
“Saya sangat kagum dengan budaya dan sosioekonomi masyarakat di sini. Apabila pulang ke Jepun nanti, saya akan berkongsi pengalaman dan kehebatan masyarakat Melayu ini kepada rakan-rakan mahasiswa di universiti saya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pasukan Work Camp Ulu Tiram di bawah MOVE, Faiz Qayyuum bin Abdul Majid berkata, program yang kini memasuki hari ketujuh itu berlangsung selama dua minggu dengan penekanan kepada pertukaran budaya dan pengalaman hidup bersama keluarga angkat.
Katanya, program tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada sukarelawan asing tentang budaya tempatan, malah mengeratkan hubungan masyarakat antarabangsa melalui pengalaman hidup sebenar di kampung.
“Para peserta sangat teruja, banyak perkara baharu dipelajari dan mereka benar-benar menikmati pengalaman tinggal bersama keluarga angkat serta menjalani aktiviti harian masyarakat Melayu,” katanya kepada Utusan.

Pengusaha madu kelulut Itu Dr Jaidon Ramli berkata, kedatangan dua pelajar Jepun ke rumahnya memberi satu pengalaman yang baharu.
Menurutnya, kedua pelajar tersebut Ko Tanaka 18 dan Haruki Sakaguchi 18 Mahasiswa Dari National university commerce business (NUCB) Nagoya dalam jurusan bahasan antarabangsa Fakulti business and administration Itu amat peramah dan mudah mesra.
“Sebaik tiba dirumah mereka berdua tidak sabar untuk mempelajari sesuatu yang tidak pernah dilakukan di Jepun.
“Walaupun kekok tapi mereka tetap berusaha untuk belajar cara menoreh getah dan menyedut madu kelulut, ” katanya.
Jaidon berharap segala pengalaman sepanjang berada di Kampung Sungai Tiram menjadi kenangan yang tidak akan dapat dilupakan ketika balik ke negara mereka. –UTUSAN









