PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan penyelewengan berjumlah kira-kira RM230 juta oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan membabitkan sumber dana zakat sebaliknya hasil sumbangan orang awam.
Sebahagian sumbangan yang diseleweng itu juga dipercayai termasuklah kutipan yang seharusnya disalurkan kepada badan zakat sebuah negeri.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, isu penyelewengan terbaharu membabitkan sebuah NGO berkenaan setakat ini tidak membabitkan mana-mana institusi zakat di negara ini.
“Dalam siasatan terkini SPRM, NGO ini menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperolehi daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.
“Bagaimanapun dana ini tidak sampai ke tujuan yang sepatutnya, sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang tidak bertanggungjawab menyeleweng dana-dana ini untuk kepentingan peribadi termasuk membeli aset-aset mewah,” katanya dalam kenyataan semalam.
Tambahnya, siasatan masih berjalan dan pihaknya sedang memperluas skop siasatan.
“SPRM komited untuk terus memastikan ketelusan dan kebertanggungnjawaban dalam setiap proses semakan serta siasatan yang dijalankan selaras dengan prinsip integriti dan tadbir urus yang baik,” jelasnya.
Terdahulu, dua termasuk seorang timbalan pengerusi NGO direman untuk siasatan kes terbabit.
Media sebelum itu melaporkan penahanan tiga individu termasuk timbalan pengerusi NGO terbabit
Siasatan awal mendapati kesemua suspek yang juga dua daripadanya merupakan pengarah syarikat disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2018 hingga 2024.
Siasatan turut mendapati timbalan NGO tersebut telah memindahkan RM230 juta tersebut ke dalam akaun syarikatnya bagi tujuan pelaburan dan juga tujuan peribadi.
Siasatan SPRM kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan membantu golongan yang memerlukan. – UTUSAN











