MoU biasiswa Hungary diperbaharui, 40 pelajar Malaysia terima tajaan penuh

MoU biasiswa Hungary diperbaharui, 40 pelajar Malaysia terima tajaan penuh

MoU dimeterai antara Malaysia dan Hungary memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi dengan tawaran 40 biasiswa penuh setahun kepada pelajar tempatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dan Hungary memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi apabila Memorandum Persefahaman (MoU) bagi program Stipendium Hungaricum diperbaharui dengan tawaran 40 biasiswa penuh setahun kepada pelajar tempatan bagi tempoh 2026 hingga 2028.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pembaharuan kerjasama itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas akses pendidikan global kepada pelajar Malaysia.

Katanya, program tersebut bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar tempatan menimba ilmu di luar negara, malah memperkukuh keupayaan modal insan negara melalui pendedahan kepada sistem pendidikan antarabangsa yang berkualiti.

“Kerjasama strategik seperti ini juga menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan dua hala serta jaringan akademik antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Hungary,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MoU berkenaan dimuktamadkan susulan sesi kunjungan hormat Duta Besar Hungary ke Malaysia, Dr. Sándor Sipos, di Kementerian Pendidikan Tinggi hari ini.

Dokumen itu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr. Anesee Ibrahim, manakala Kerajaan Hungary diwakili Dr. Sándor Sipos.

Melalui kerjasama tersebut, pelajar Malaysia berpeluang melanjutkan pengajian di Hungary di peringkat Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) bermula tahun depan dengan pembiayaan penuh meliputi yuran pengajian, elaun sara hidup, penginapan serta perlindungan insurans kesihatan.

Program itu terus mendapat sambutan tinggi apabila kira-kira 350 permohonan diterima bagi merebut 40 tempat yang ditawarkan pada sesi akademik lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN