MMU diiktiraf antara kelompok teratas dunia bidang AI

MMU diiktiraf antara kelompok teratas dunia bidang AI

MMU diiktiraf antara kelompok teratas dunia bidang AI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Universiti Multimedia (MMU) diiktiraf dalam kelompok empat terbaik negara bagi bidang Sains Komputer serta berjaya menempatkan antara kelompok teratas dunia bagi bidang Kecerdasan Buatan (AI) melalui QS World University Rankings by Subject 2026.

Pencapaian ini menandakan peningkatan berterusan MMU merentasi pelbagai disiplin, dengan lonjakan kukuh dalam bidang yang sejajar dengan inovasi digital serta permintaan global semakin meningkat terhadap bakat AI dan teknologi.

Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, MMU mencatat lonjakan ketara daripada kelompok 451–500 kepada kedudukan 171 dunia dalam bidang Sains Komputer dan Sistem Informasi sekali gus meletakkan MMU antara empat universiti terbaik di Malaysia.

Bagi bidang Sains Data dan Kecerdasan Buatan yang merupakan bidang strategik penting, katanya, MMU memasuki kelompok 101–200 dunia sekali gus meletakkan MMU dalam kalangan institusi terkemuka di Malaysia dalam domain baharu ini.

“Dalam bidang Seni dan Reka Bentuk pula, kedudukan MMU meningkat ke kelompok 101–150 dunia, berbanding 201–260 pada tahun 2025, menjadikan MMU antara ranking tertinggi di Malaysia.

“MMU turut mencatat peningkatan dalam disiplin yang lain. Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik naik ke kelompok 301–350, manakala Pengajian Perniagaan dan Pengurusan menunjukkan peningkatan ketara ke kelompok 201–250, berbanding 451–500 sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada peringkat subjek yang lebih luas, MMU kini berada dalam kelompok 401–450 dunia bagi kedua-dua bidang Kejuruteraan dan Teknologi serta Sains Sosial dan Pengurusan, mencerminkan kemajuan berterusan dalam memperkukuh ekosistem akademik keseluruhan.

“Pencapaian ini menggambarkan fokus MMU dalam membangunkan keupayaan dalam bidang yang kritikal kepada masa depan digital Malaysia.

“Ia mencerminkan penekanan berterusan kami terhadap pendidikan dan penyelidikan yang relevan dengan industri, khususnya dalam teknologi digital, kecerdasan buatan dan inovasi.

“Sebagai universiti yang mempunyai asas kukuh dalam ICT, MMU akan terus membangunkan bakat masa hadapan bagi menyokong transformasi digital Malaysia,” katanya.

Mengikut rekod, MMU menjadi universiti swasta pertama di Malaysia yang menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) pada Ogos tahun lalu sebagai usaha memperkukuh saluran bakat AI negara serta memajukan ekosistem digital Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN