Mediasi percuma bela nasib penggiat seni

Mediasi percuma bela nasib penggiat seni

FAHMI Fadzil dan Azalina Othman menyaksikan pertukaran MoU antara Jabatan Insolvensi dan Finas di Pusat Konvensyen MPAJ Taman Melawati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perluasan Rang Undang-Undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 memberi nafas baharu kepada penggiat industri kreatif dalam mendapatkan kaedah penyelesaian pertikaian alternatif seperti mediasi secara percuma. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu mengukuhkan kaedah penyelesaian pertikaian alternatif dalam industri supaya lebih cepat dan kos efektif berbanding litigasi di mahkamah.

Menurutnya, inisiatif mediasi percuma itu bagi kes melibatkan kontrak bernilai di bawah RM250,000.

“Pendirian kerajaan jelas, kita mahu akses kepada keadilan bukan lagi menjadi hak eksklusif golongan tertentu, sebaliknya hak untuk semua warga.

“Melalui pendekatan baharu ini, pihak terlibat boleh terus mendapatkan khidmat mediasi tanpa perlu melalui proses mahkamah. Mereka dapat menjimatkan masa dan kos.

“Bagi kontrak di bawah jumlah ini, kita akan menyediakan bantuan mediasi secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama antara Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di Simposium Seniman 2026 di sini, hari ini. 

Azalina berkata, kebanyakan kontrak dalam sektor kreatif berada dalam lingkungan nilai tersebut, sekali gus menjadikan inisiatif berkenaan sebagai sokongan penting kepada pemain industri.

“Inisiatif ini juga akan dilaksanakan melalui pusat penyelesaian seperti Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) bagi membantu pihak yang mempunyai pertikaian kontrak di bawah jumlah itu,” katanya. 

Mengulas mengenai kerjasama, beliau berkata, kerjasama antara dua agensi ini melengkapkan ekosistem sokongan sedia ada, khususnya kepada golongan seniman dan penggiat industri kreatif. 

“Walaupun industri kreatif adalah nadi identiti negara yang menjadi penyumbang penting ekonomi, namun, kita akui ada dalam kalangan mereka dalam industri ini yang berdepan cabaran kewangan sehingga terjerumus ke dalam kebankrapan. 

“Kerajaan tidak mahu bakat seni negara terpadam dan lenyap hanya kerana beban kewangan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN