KUALA LUMPUR: Dalam tempoh 10 hari lagi, Malaysia akan menyaksikan pelaksanaan Kota Baca 2026, acara literasi kebangsaan yang akan berlangsung dari 23 hingga 26 April 2026 bersempena dengan sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.
Acara yang diterajui Kementerian Pendidikan (KPM) dengan pelaksanaan oleh Perbadanan Kota Buku merupakan usaha nasional bagi memperkukuh budaya membaca dalam kalangan rakyat.
Kota Baca 2026 dirangka dengan matlamat bagi menginstitusikan aktiviti membaca sebagai norma sosial, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembinaan masyarakat berilmu, beradab, dan berkemahiran tinggi.
Usaha ini turut menyokong pelaksanaan Dekad Membaca Kebangsaan 2021–2030, dengan penekanan kepada pembudayaan membaca sebagai asas pembangunan modal insan negara dan daya saing ekonomi berasaskan pengetahuan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan menyempurnakan pembukaan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia peringkat kebangsaan pada 23 April 2026 di Perpustakaan Kuala Lumpur, yang turut menandakan permulaan pelaksanaan Kota Baca 2026 melalui pendekatan hibrid, termasuk penglibatan digital dan bacaan serentak selama 10 minit di seluruh negara.
Dalam acara yang sama, Fadhlina akan turut melancarkan papan pemuka Peta Malaysia Membaca yang memaparkan data pembacaan dan pembelian buku oleh rakyat di seluruh negara, sekali gus menjadi rujukan utama dalam pemantauan budaya membaca di peringkat nasional.
Pengisian fizikal akan berlangsung di Dataran Merdeka dari 24 hingga 26 April 2026, dengan pelbagai program diadakan bermula pukul 7 pagi hingga 10 malam. Program ini menghimpunkan aktiviti literasi, komuniti serta penglibatan industri buku, sektor swasta, dan agensi dalam satu ekosistem yang inklusif dan berimpak tinggi.
Antara pengisian utama termasuk Khutbah Jumaat khas mengenai kepentingan membaca di semua masjid di Wilayah Persekutuan pada 24 April, BukaBuku oleh Keretapi Sarong pada petang 25 April, Pidato Negarawan pada malam 25 April, dan Larian Karakter Buku 5KM pada pagi 26 April.
Himpunan Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara
Orang ramai diseru hadir pada malam 25 April untuk menyertai Himpunan Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara dengan membawa buku masing-masing untuk ditukar bersama pengunjung lain.
Pelekat khas boleh diperoleh daripada sukarelawan, manakala pengunjung digalakkan berhimpun mengikut genre buku di bawah belon gergasi (tercatat genre buku) bagi memudahkan sesi pertukaran dalam suasana yang tersusun dan interaktif.
Sepanjang acara, pengunjung boleh meneroka lebih 100 reruai jualan dan pameran buku, menyertai Kelah Buku berskala nasional, mengikuti Audio Siar Telaah Buku secara langsung, serta bertemu sasterawan, penulis, dan ilustrator. Pelbagai aktiviti turut disediakan termasuk Mrs. Baca Malaysia, Kafe Kopi dan Buku, Pasport Kota Baca serta program komuniti untuk semua.
Program ini turut menampilkan ikon Kota Baca seperti Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said, bersama penulis dan personaliti seperti ZRA, Hafizul Faiz, Hilal Asyraf, dan Lavina Jacinta (Mrs. Malaysia World 2025) yang aktif mempromosikan budaya membaca.
Turut diketengahkan adalah Hentian Pintar AI yang menampilkan perkongsian berkaitan kecerdasan buatan dalam dunia perbukuan oleh Google dan pakar AI, Nadio Granata. Penganjuran ini mencerminkan kerjasama menyeluruh antara kerajaan, industri, dan masyarakat dalam menggerakkan agenda literasi negara.
Penganjuran ini turut memberikan penekanan kepada usaha melahirkan pembaca baharu secara konsisten dalam kalangan masyarakat. KOTA BACA bukan sahaja menggalakkan pembacaan sebagai aktiviti individu, malah menjadikannya pengalaman yang menyeronokkan, relevan dengan dunia digital, dan meninggalkan impak kepada pengunjung. – UTUSAN










