KUSKOP sedia jumpa pengendali portal e-dagang

KUSKOP sedia jumpa pengendali portal e-dagang

STEVEN Sim Chee Keong (dua, kanan) ketika menghadiri program Jualan Madani Koperasi & Usahawan @Bertam di Kepala Batas, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/ISWAN SHAFIQ ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan bertemu pengendali portal atau platform e-dagang bagi membincangkan isu-isu yang dihadapi oleh peniaga dalam talian ketika ini.

Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, antara perkara yang akan disentuh dalam pertemuan itu termasuk isu terma ‘return & refund’ atau pemulangan dan bayaran balik barangan yang telah dibeli melalui platform tersebut.

Beliau berkata, isu lain termasuk usaha untuk memperkukuh kerjasama dan jaringan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam e-dagang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita akui cabarannya juga banyak seperti mungkin komisen yang dikenakan terlalu tinggi dan lain-lain. Jadi, kita dalam perancangan untuk berjumpa mereka (pengendali portal e-dagang).

“Saya sudah jumpa banyak sektor sokongan sebelum ini. Hari itu saya jumpa pihak bank. Kemudian, saya jumpa ‘private equity’ (ekuiti persendirian) dan sektor tenaga.

“Jadi, kita akan beralih untuk berjumpa pula dengan sektor-sektor e-dagang ini untuk membincangkan pelbagai perkara termasuk strategi yang lebih baik bagi menyokong PMKS di Malaysia,” katanya selepas menghadiri program Jualan Madani Koperasi & Usahawan @Bertam di sini, hari ini.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, kelompo­ngan yang wujud dalam terma ‘return & refund’ yang ditawarkan oleh platform e-dagang telah dimanipulasi pe­langgan untuk mendapatkan barangan yang dihajati tanpa perlu mengeluarkan satu sen pun daripada poket mereka.

Disebabkan isu tersebut, terma yang sepatutnya bertujuan melindungi hak pengguna daripada isu penipuan seperti barangan dihantar tidak seperti diiklankan, sebaliknya, telah menjadi beban kepada penjual terutama peniaga kecil.

Dalam perkembangan lain, Steven berkata, KUSKOP akan terus membantu rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang tinggi selain membantu peniaga-peniaga kecil dan koperasi untuk terus mengembangkan perniagaan mereka ketika ini.

Justeru katanya, menerusi pelaksanaan program Jualan Madani Koperasi & Usahawan sebagai contoh, agensi-agensi yang bernaung di bawah KUSKOP turut diberikan peluang untuk membuka reruai masing-masing bagi memudahkan urusan rakyat sekali gus menawarkan perkhidmatan terbaik buat mereka.

Selain Bertam, program sama dijangka diadakan di beberapa lokasi lain di Pulau Pinang termasuk di Sungai Puyu, Sungai Pinang dan Batu Maung.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini