Kuota 90 peratus bumiputera ke program matrikulasi kekal

Kuota 90 peratus bumiputera ke program matrikulasi kekal

ANWAR Ibrahim (tengah) bersalaman dengan pelajar pada Majlis Ramah Mesra MADANI Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiyaz Yayasan Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kerajaan membuat ketetapan mengekalkan kuota kemasukan 90 peratus bumiputera ke program matrikulasi bagi memastikan akses pendidikan lebih adil dan inklusif kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, geografi atau etnik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia selari dengan prinsip pendemokrasian pendidikan yang memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat sekali gus mengelakkan kesenjangan antara golongan kaya dan miskin terus melebar.

Katanya, keputusan itu dapat mengimbangi antara kecemerlangan akademik dan keadilan sosial dalam sistem pendidikan negara.

“Dalam menjamin mobiliti sosial, kerajaan tidak mengetepikan keperluan mengiktiraf yang terbaik atau terpintar.

“Sebab itu dalam menilai prestasi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Jemaah Menteri memutuskan menawarkan tempat kepada semua calon yang memperoleh keputusan cemerlang 10A ke atas ke Program Matrikulasi bagi sesi 2026/2027,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam ucapan perasmian Majlis Pecah Tanah Kolej Matrikulasi Terengganu di Bukit Payung di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Menurut Anwar, wujud kebimbangan apakah dasar kerajaan akan menyebabkan anak-anak bumiputera tersisih lagi memandangkan sekolah-sekolah elit dan terbaik terletak di bandar dan dan diduduki anak-anak dari keluarga yang lebih kaya.

Hujah tentang keperluan mengiktiraf berdasarkan prestasi akademik semata-mata mempunyai kelemahan kerana ia meninggalkan aspek keadilan.

“Maka dalam hal ini, kita mengiktiraf pelajar cemerlang memperoleh 10A (dalam SPM 2025) tetapi anak-anak bumiputera tetap dijamin kuota kemasukan 90 peratus ke program matrikulasi supaya boleh rapatkan jurang,” katanya.

Kolej Matrikulasi Terengganu dibangunkan dengan peruntukan awal RM27 juta itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 pelajar dengan kemudahan akademik dan prasarana moden yang kondusif.

Pembinaan kolej matrikulasi pertama di negeri ini akan disegerakan bagi menampung permintaan tinggi pelajar tempatan.

Ketika berucap pada Maj­lis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz negeri di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, semalam, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.8 juta bagi membaik pulih infrastruktur dan fasiliti 18 buah sekolah tahfiz dan pondok di Terengganu sepanjang tahun ini.

Inisiatif itu bagi memastikan institusi tahfiz, pondok dan pesantren tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI).

Kerajaan katanya, turut meluluskan sebanyak RM60 juta bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan di Terengganu untuk tahun ini bagi memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan rakyat dan membaik pulih perumahan, khususnya melibatkan golo­ngan berpendapatan rendah.

Pelaksanaan program itu diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan bantuan disampaikan secara berkesan kepada golongan sasar.

Sementara itu, ketika ber­ucap pada Majlis Ramah Mesra MADANI Bersama Pelajar Tahfiz Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Te­rengganu, semalam, Anwar berharap tuduhan penjualan diesel ke Filipina yang melibatkan syarikat asing dan bukannya syarikat tempatan atau milik Petronas dihentikan.

Perdana Menteri berkata, tumpuan harus diberikan untuk bangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang.

Beliau turut kesal terhadap sikap segelintir pihak yang didakwa tidak menghargai usa­ha kerajaan dalam me­nyalurkan subsidi minyak.

“Keadaan sekarang tentunya kita terpaksa buat pilihan. Berapa untuk subsidi minyak yang kita bagi itu tidak pernah ada orang terima kasih.

“Peningkatan kos bahan api memberi tekanan kepada kerajaan apabila Petronas hanya mampu menampung sekitar 40 peratus keperluan domestik,” katanya.
UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN