CYBERJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan semua universiti dan politeknik di negara ini dilengkapi perpustakaan digital bagi menyokong keperluan pembelajaran dan penyelidikan masa kini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, penggunaan teknologi digital melalui penyediaan perpustakaan digital juga akan mempercepat akses kepada sumber rujukan ilmiah.
Menurutnya, hampir semua universiti di Malaysia telah dilengkapi dengan perpustakaan digital bagi membolehkan proses menimba ilmu dilaksanakan dengan lebih pantas dan efisien.
“Saya lihat di University of Cyberjaya (UoC) juga menggunakan pendekatan seperti ini, kita mengharapkan dengan perpustakaan seperti ini, ia akan menambahkan sumber-sumber ilmu, sumber rujukan yang lebih tepat bagi membolehkan sebarang proses atau kajian yang perlu dilakukan (pelajar) tidak mengambil masa yang panjang untuk dihasilkan,” katanya.
Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Naik Taraf Perpustakaan Digital University of Cyberjaya di sini, hari ini.
Perpustakaan UoC direka sebagai perpustakaan akademik moden yang mengutamakan pendekatan digital. Kemudahan yang dinaik taraf itu melambangkan peralihan daripada model tradisional berteraskan buku kepada hab ilmu yang lebih kolaboratif dan diperkasakan teknologi.
Dengan kapasiti menampung kira-kira 600 pelajar pada satu-satu masa, perpustakaan itu menyediakan persekitaran seimbang bagi pembelajaran senyap, perbincangan berkumpulan dan penglibatan antara disiplin dalam kalangan pelajar, ahli akademik serta rakan industri.
Ia turut menawarkan akses kepada 22,309 naskhah fizikal dan lebih 29 juta sumber digital, termasuk pangkalan data akademik dan e-jurnal yang menyokong pelbagai bidang pengajian serta keperluan penyelidikan.
Projek melibatkan pelaburan kira-kira RM1.49 juta, mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh infrastruktur akademik serta meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar secara keseluruhan.
Antara kemudahan utama yang disediakan termasuk ruang perbincangan kolaboratif, bilik pembelajaran pintar, zon pembelajaran senyap, terminal akses digital serta ruang pembelajaran fleksibel yang menyokong keperluan pembelajaran secara individu dan berkumpulan. – UTUSAN










