KUALA LUMPUR: Seramai 23 orang termasuk polis, tentera dan pembantu rumah dilihat membawa masuk beberapa kotak dan beg bertanda Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke dalam sebuah unit kediaman di Pavilion Residence di sini.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kotak-kotak dan beg-beg tersebut dibawa masuk ke unit kediaman nombor B-45-02 sekitar pukul 4 pagi, bermula 11 Mei hingga awal pagi 12 Mei 2018.
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dijalankan pada 9 Mei 2018 manakala kerajaan baharu yang dilantik dan diketuai oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri buat kali kedua pada 10 Mei, tahun yang sama.
“Pada 17 Mei 2018, kira-kira pukul 1.30 pagi, saya menerima maklumat daripada SAC Ahmad Nordin Ismail bahawa beliau telah meneliti rakaman CCTV Menara A, Pavilion Residence dan mendapati bahawa rakaman bertarikh 11 Mei 2018 menunjukkan dua individu yang kelihatan seperti orang Melayu dilihat menolak troli yang sarat dengan kotak berwarna oren ke dalam sebuah unit di Aras 45.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kad akses menunjukkan ia milik Unit B-45-02. Beliau juga membuat semakan dengan penghuni Unit B-43A-01 bernama Marcus yang turut mengesahkan bahawa beliau melihat beberapa orang memindahkan kotak ke Unit B-45-02.
“Pada 17 Mei 2018, pukul 10.30 pagi, selepas meneliti rakaman CCTV yang diberikan oleh pihak pengurusan Pavilion Residence, SAC Ahmad Nordin memberitahu beberapa individu lain (dilihat) membawa barangan ke dalam Unit B-45-02.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, termasuk daripada dua pembantu rumah tersebut, barangan yang dipindahkan ke Unit B-45-02 dipercayai mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri. Beliau juga memaklumkan bahawa kenderaan yang dilihat dalam CCTV membawa kotak dan beg ke unit tersebut mempunyai tanda JPM (Jabatan Perdana Menteri),” kata bekas Ketua Polis, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh.
Selepas pemeriksaan dibuat di unit kediaman B-45-02, Amar Singh telah mengarahkan ACP Azman Isa and ASP Mail Yussof daripada Bahagian Siasatan Jenayah Siber & Multimedia untuk menjalankan siasatan mendalam terhadap rakaman-rakaman CCTV yang diperolehi berhubung pergerakan kotak-kotak dan beg-beg tersebut.
“Hasil siasatan mendapati secara keseluruhan, (terdapat) 11 anggota polis, lapan anggota tentera dan empat pembantu rumah terlibat dalam memindahkan kotak dan beg ke Unit B-45-02 menggunakan lif Basement 2 Blok B (Pavilion Residence). Beberapa kali perjalanan dilakukan untuk membawa masuk semua beg dan kotak tersebut ke dalam unit (berkenaan).
“Barang kes dipindahkan dari kediaman di Jalan Duta ke Pavilion menggunakan kenderaan kerajaan dan kenderaan peribadi milik anggota yang terlibat. Beberapa kali perjalanan juga dilakukan oleh mereka bagi memindahkan semua barang tersebut.
“Siasatan lanjut mendapati terdapat dua individu yang memasuki Unit B-45-02 selepas semua beg dan kotak dipindahkan. Dua individu tersebut ialah Pengurus Projek, CTL Renovation, Chong Tong Leong yang memasuki unit berkenaan 14 Mei 2018, 11 pagi untuk memeriksa sistem penyaman udara. Seorang lagi ialah warga Kazakhstan, Epcapneb Yersariyev,” kata Amar Singh.
Kesemua individu tersebut telah dirakam percakapan kecuali warga Kazakhstan tersebut kerana lelaki berkenaan telah keluar dari Malaysia pada 25 Mei 2018.
Amar Singh yang bersara pada Disember 2018 memberi keterangan itu dalam perbicaraan kes saman oleh syarikat barangan kemas Lebanon, Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan barangan kemas berjumlah RM67.4 juta (AS$14.57 juta).
Pada 27 Mac 2025, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Rosmah untuk memasukkan kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pihak ketiga dalam saman tersebut.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa wanita itu telah berbohong dengan menyatakan bahawa 43 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya telah dirampas pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Menurut syarikat berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan pihak polis dan baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa.
Global Royalty juga mendakwa Rosmah mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.
Dalam permohonannya untuk memulakan prosiding pihak ketiga terhadap polis dan kerajaan, Rosmah menyatakan barang kemas yang dipertikaikan itu tidak berada dalam milikannya dan telah dirampas pihak berkuasa.
Sebagai defendan Rosmah boleh memulakan tindakan ini terhadap pihak ketiga yang bukan merupakan sebahagian daripada tuntutan utama, bagi menuntut sumbangan, ganti rugi atau sebarang remedi yang dituntut Global Royalty. – UTUSAN










