PETALING JAYA: Sebanyak 12 buah pusat perantara atau mediasi komuniti akan ditubuhkan bagi memperkukuh mekanisme penyelesaian konflik masyarakat secara aman.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kementerian itu sedang memperhalusi penubuhan pusat tersebut yang melibatkan 10 negeri serta dua wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Labuan.
Katanya, pusat berkenaan akan menyediakan perkhidmatan mediasi secara percuma kepada orang ramai sekali gus membantu individu atau pihak terlibat mendapatkan penyelesaian terbaik tanpa beban kos.
“Antara isu yang sering ditangani termasuk pertikaian kejiranan, gangguan bunyi, pergaduhan antara jiran, masalah parkir serta isu alam sekitar komuniti.
“Melalui pendekatan mediasi, konflik kecil dapat diselesaikan secara damai sebelum menjadi lebih besar,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Menteri Perpaduan Negara bersama Exco-Exco Perpaduan Negeri dan Exco-Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) yang pertama bagi tahun 2026 di Sepang hari ini.
Dalam perkembangan sama, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai draf Garis Panduan Perancangan Rumah Ibadat Bukan Islam (GPP RIBI) yang dibangunkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PLANMalaysia.
Draf tersebut merangkumi tiga komponen utama iaitu mekanisme perancangan, pembangunan serta pelaksanaan rumah ibadat bukan Islam, selain telah dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-87 pada 12 Mac lalu sebagai kertas makluman.
Aaron berkata, garis panduan itu dijangka memperkukuh mekanisme perancangan, pembangunan dan pelaksanaan RIBI secara lebih telus, sistematik dan berstruktur.
“Pada masa sama, ia dapat meningkatkan keberkesanan koordinasi antara kerajaan, agensi berkaitan serta masyarakat, di samping memastikan setiap inisiatif dilaksanakan dengan sokongan padu kerajaan negeri.
“Mesyuarat turut bersetuju menubuhkan Pusat Rujukan Isu Sensitif Masyarakat (Prisma) sebagai platform integrasi nasional yang berteraskan pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government),” katanya.
Jelasnya, Prisma akan menghubungkan pelaporan digital melalui e-Sepakat dan Rakan, selain penyelarasan strategik bersama agensi keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Pendekatan ini menjadi perisai ampuh dalam mendepani cabaran siber dan fizikal masa hadapan, selain menjamin keharmonian serta kestabilan masyarakat majmuk negara,” katanya.- UTUSAN










