PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan mengambil pendirian untuk tidak mencampuri isu politik yang sedang melanda Negeri Sembilan membabitkan ketegangan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kabinet sudah dimaklumkan dalam mesyuarat pada hari ini mengenai perkembangan mutakhir isu politik dan pentadbiran bagi kerajaan Negeri Sembilan.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berjalan seperti biasa.
“Kerajaan Persekutuan tidak akan mencampuri isu berhubung urusan adat,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan secara dalam talian, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bertitah supaya Aminuddin kekal menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.
Tuanku Muhriz turut bertitah agar pentadbiran negeri diterus sementara proses berkaitan diselesai mengikut lunas undang-undang supaya kepentingan rakyat terpelihara dan kedaulatan undang-undang dapat dijunjung.
Ia selepas seramai 14 orang ADUN dari BN di Negeri Sembilan mengisytiharkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin selaku menteri besar sekali gus menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Kemudian lima orang ADUN pembangkang dari Perikatan Nasional (PN) serentak menyatakan sokongan kepada BN sekali gus menjadikan Aminuddin hilang majoriti dalam DUN.
DUN Negeri Sembilan mempunyai sebanyak 36 buah kerusi secara keseluruhan dengan Pakatan Harapan (PH) memiliki 17 kerusi diikuti BN dengan 14 kerusi manakala lima kerusi lagi milik PN selepas berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu pada Ogos 2023.
Sebanyak 19 kerusi DUN diperlukan secara keseluruhan bagi membentuk kerajaan negeri secara majoriti mudah.
Mengulas mengenai kedudukan 14 ADUN UMNO dan BN, Fahmi berkata, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri dan Presiden UMNO akan mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat berkenaan.
“Beliau telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri bahawa beliau akan mengadakan pertemuan bersama ADUN tersebut dalam masa terdekat,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri tidak terjejas dengan perkembangan politik itu.
“Jemaah Menteri turut dimaklumkan bahawa Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan juga negeri-negeri termasuk di Negeri Sembilan tidak terjejas dan berjalan seperti biasa,” katanya.-UTUSAN










