Kerajaan pastikan peserta GSF Malaysia bebas segera

Kerajaan pastikan peserta GSF Malaysia bebas segera

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mempergiat usaha diplomatik dengan beberapa negara rakan bagi memastikan 10 rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dibebaskan dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memandang serius insiden melibatkan misi tersebut yang ditahan pihak berkuasa Israel di perairan antarabangsa.

Katanya, Malaysia sedang menyelaras tindakan bersama negara-negara berkaitan bagi memastikan keselamatan semua aktivis termasuk rakyat Malaysia sentiasa terjamin.

“Kerajaan Madani sedang berhubung dan bekerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan mereka dibebaskan dengan segera.

“Malaysia mendesak agar semua pihak bertindak dengan segera dan memastikan tiada sebarang tindakan keras dikenakan terhadap semua para aktivis, termasuk 10 rakyat Malaysia yang kini ditahan dan terputus hubungan.

“Keselamatan mereka mesti dijamin tanpa kompromi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, sebanyak 22 kapal misi GSF 2.0 yang membawa 186 sukarelawan dari seluruh dunia ke Gaza telah ditahan dan diculik tentera Israel, awal pagi semalam.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, enam daripada kapal yang diceroboh di perairan antarabangsa berhampiran Greece itu melibatkan 10 rakyat Malaysia.

Anwar turut mengecam tindakan Israel terhadap misi kemanusiaan yang disifatkan sebagai pelanggaran nyata undang-undang antarabangsa.

“Dalam situasi getir ini, ihsan dan kemanusiaan harus mengatasi segala perbezaan dan Malaysia akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip tersebut.

“Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi GSF. Hasbunallahu wa ni‘mal wakil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN