Kepungan AS di Selat Hormuz jejaskan enam kapal Malaysia

Kepungan AS di Selat Hormuz jejaskan enam kapal Malaysia

MOHAMAD Hasan bergambar bersama hadirin pada MajlisPerasmian Mini Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera Zon Selatan yang diadakan di UiTM Kampus Rembau, hari ini. UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengepung Selat Hormuz turut memberi kesan dan menjejaskan pergerakan enam buah kapal Malaysia yang masih berada di sana.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keadaan itu juga akan memburukkan lagi situasi bekalan tenaga dunia selain menjejaskan rantaian ekonomi dan pertanian global termasuk bekalan baja urea.

“Kapal masih ada di sana. Mereka tidak boleh bergerak. Semua kapal juga tidak boleh bergerak.

“Kita minta supaya pihak AS memikirkan semula tindakan mereka ini agar semua pihak kembali berunding kerana ia memburukkan lagi keadaan bekalan tenaga seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Perasmian Mini Konvensyen Ekuiti Usahawan Bumiputera Zon Selatan, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu turut mempersoalkan tindakan AS yang mengepung selat tersebut kerana sebelum ini mereka yang menggesa negara-negara Eropah supaya membantu agar laluan tersebut dibuka.

“Saya tidak tahu apa tujuan pihak AS menggunakan perkataan mengepung Selat Hormuz.

“Kerana merekalah yang melaungkan supaya membawa negara-negara Eropah bersama-sama untuk membuka Selat Hormuz, tetapi sekarang ini mereka yang hendak mengepung Selat Hormuz,” katanya.

Tambahnya, Iran sebelum ini bersetuju membuka laluan tersebut dengan 10 syarat dalam rundingan yang berlangsung di Islamabad namun perkara itu masih bergantung kepada persetujuan pihak AS.

Sehubungan itu, beliau turut meminta AS agar tidak menjadikan dunia sebagai ‘tebusan’ kepada konflik yang tidak membawa manfaat.

“Kita minta pihak Iran memikirkan juga supaya demi kesejahteraan umat dunia, Iran perlu juga membenarkan kapal-kapal melalui Selat Hormuz tersebut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Presiden AS, Donald Trump mengarahkan Tentera Laut negara itu untuk membuat pengepungan di Selat Hormuz susulan kegagalan rundingan damai dengan Iran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN